1. Kelas bersama syeikhuna Dr. Mustafa Bugha semalam wujud perbincangan tentang hukum golongan wanita kahwin dalam usia muda. Asasnya adalah harus berdasarkan riwayat tentang perkahwinan nabi SAW dengan ‘Aisyah RA. Namun syeikh menyatakan kepentingan melihat din (uruf) setempat. Beliau menegaskan dalam konteks sekarang, beliau tidak akan mengizinkan anak perempuannya berkahwin sebelum umur dua puluh tahun. Beliau mempunyai hujjah tersendiri di samping pengalaman menjadi mufti di Syria dengan mengeluarkan statistik tidak kurang 4 kes permohonan cerai dalam sehari. Juga pengalaman syeikh berhadapan dengan situasi tertentu dalam keluarganya. Terdapat lelaki yang menjadi suami tetapi tidak memahami konsep qiwamah (kepimpinan dan ketuanan) yang Allah SWT berikan kepada mereka.
2. Sewaktu di Mesir dahulu terdapat kempen secara besar-besaran untuk melarang ibu bapa mengahwinkan anak perempuannya dalam usia yang muda. Boleh jadi ada isu lain di sebalik kempen seumpama ini. Dan mungkin ada persamaan dengan qiwamah lelaki yang disebut oleh syeikhuna. Tambahan pula golongan wanita yang menjadi isteri tidak mengetahui hak-hak mereka dalam rumahtangga. Pihak Barat pula yang menggambarkan dengan gambaran buruk terhadap Islam dengan mendakwa Islam menindas wanita. Semua ini menjadikan kita perlu melihat qiwamah dengan objektif dan teliti.
3. Dengan wafatnya Rasulullah SAW, Allah Azza wa Jalla telah menyempurnakan agama Islam. Di antara kesempurnaan tersebut adalah penetapan qiwamah lelaki dalam keluarga. Allah SWT maha mengetahui penetapan ini sesuai kepada semua lelaki dan wanita berdasarkan sifat semulajadi dan biologi penciptaan mereka. Firman Allah SWT ketika menetapkan qiwamah lelaki dalam surah al-Nisaa’ ayat 34 bermaksud:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal (qawwamun) yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.
4. Qawwamun iaitu qiwamah dalam ayat tersebut ialah yang bertanggungjawab menjaga dan melaksanakan sesuatu. Iaitu mentadbir, mengawal dan memastikan pendidikan dalam keluarga. Taklifan amanah ini dipikul oleh golongan lelaki iaitu suami yang menjadi ketua keluarga. Imam al-Baghawi (516H) dalam tafsirnya berkata:
Iaitu yang bertanggungjawab menjaga kepentingan, mentadbir dan mendidik. (al-Baghawi, Ma'alim al-Tanzil)
5. Ibn Kathir (774H) ketika menghuraikan ayat ini menyatakan bahawa lelaki dalam keluarga iaitu suami adalah sebagai ketua yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, katanya:
Iaitu lelaki bertanggungjawab ke atas wanita, dia adalah ketua dan pembesarnya. Lelaki juga adalah hakim ke atasnya dan yang akan memperbetulkan jika isterinya menyeleweng. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)
6. Ketua tidak akan berfungsi melainkan perlu ditaati. Maka Islam telah mewajibkan kepada wanita yang menjadi isteri untuk mentaati suaminya dalam semua keadaan selagi bertepatan dengan syara’ dan dalam kemampuan isteri. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada melainkan dengan izinnya. Dan dia tidak boleh membenarkan sesiapa memasuki rumah suaminya melainkan dengan izin suaminya. (Riwayat al-Bukhari)
7. Apabila ia merupakan taklifan amanah kepada lelaki, maka sebenarnya ia adalah satu kemuliaan kepada golongan wanita yang menjadi isteri. Taklifan tanggungjawab dan semua urusan tadi tidak perlu mereka pikul dan tidak juga diminta kepada mereka menanggung bebannya. Islam mewajibkan suami menjaga isterinya selepas ikatan perkahwinan dengan akad perjanjian yang Allah Azza wa Jalla sifatkan sebagai perjanjian yang kuat. FirmanNya dalam surah al-Nisaa’ ayat 21:
Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
8. Perjanjian yang kuat menunjukkan besarnya amanah dan tanggungjawab. Ia bukan untuk bermain-main atau nak ‘test’, tetapi ia menuntut kematangan dan ilmu pengetahuan daripada kedua-dua pihak sama ada suami atau isteri.
Qiwamah bukan menindas
9. Sebenarnya ketika Islam datang, golongan wanita di kebanyakan tempat dalam keadaan tertindas. Golongan wanita dianggap seperti harta yang boleh dijual beli dan ditukar ganti. Wanita hanya diperlukan untuk melampiaskan nafsu lelaki. Kalau harta masih ada nilainya, tetapi wanita diperlakukan dengan yang lebih teruk daripada itu. Ia agak kasar tetapi itulah hakikat sebenar dan fakta sejarah yang tidak boleh diubah. Sebab itu kita dapati mereka tergamak membunuh dengan menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana takut malu di kemudian hari sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat Jahiliyah.
10. Islam datang dan mengangkat darjat wanita. Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang sepatutnya. Islam juga mengiktiraf dan memberikan hak mereka. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada nabi SAW dan bertanya:
Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya? Nabi SAW menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Nabi SAW menjawab: Ibumu. Dia bertanya sekali lagi: Kemudian siapa? Nabi SAW menjawab: Ibumu. Dia berkata: Kemudian siapa? Nabi SAW menjawab: Ayahmu. (Riwayat al-Bukhari)
11. Menerusi hadith ini, nabi SAW menjelaskan kepada kita prinsip Islam terhadap kedudukan wanita. Ia cukup jelas dan terang sebagaimana terangnya siang hari kerana pancaran cahaya matahari. Islam juga memberikan kepada golongan wanita hak pemilikan harta menerusi harta pusaka. Wanita juga bebas membelanjakan harta yang mereka miliki untuk keperluan hajat mereka tanpa sebarang gangguan pihak lain. Persetujuan wanita juga penting dalam perkahwinan mereka. Ibu bapa tidak boleh memaksa anak perempuannya berkahwin dengan seseorang tanpa persetujuannya. Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa:
Seorang wanita datang berjumpanya dan berkata: Sesungguhnya ayahku mengahwinkan aku dengan anak saudaranya kerana kepentingannya sedangkan aku tidak suka. Aisyah berkata: Duduk dahulu sehingga nabi SAW datang. Apabila nabi SAW sampai, dia menceritakan kepada nabi SAW. Lalu nabi SAW menghantar seseorang untuk memanggil ayahnya. Dan nabi SAW menyerahkan urusan tersebut kepada wanita tadi untuk membuat keputusan. Dia pun berkata: Wahai Rasulullah SAW: Aku telah membenarkan apa yang telah ayahku lakukan untukku, tetapi aku hanya ingin tahu adakah bagi seorang wanita hak dalam perkara ini? (Riwayat al-Nasa'ie)
12. Islam juga memuliakan wanita dengan mensyari’atkan penjagaan dan pemeliharaan maruah mereka. Ia tercapai dengan hukum wajib menutup aurat, perlu ada teman apabila ingin bermusafir dan perlu mengelakkan pergaulan bebas. Tujuannya untuk menjaga keselamatan dan maruah mereka. Adakah ini bukan kemuliaan? Bagi wanita yang mempertikaikan ketetapan syara’ ini bermakna mereka menolak kemuliaan diri mereka sendiri. Islam juga ingin memastikan golongan wanita sentiasa dalam keadaan aman dan selamat. Sebab itu wajib bagi suami memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal kepada isterinya. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Bertakwalah kamu semua dalam urusan wanita. Sesungguhnya mereka adalah pembantumu. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah, dan dihalalkan kepadamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah, dan wajib ke atas kamu memberi rezeki dan pakaian untuk mereka. (Riwayat Muslim)
13. Terdapat banyak lagi hukum-hakam yang menunjukkan hak mereka yang dipelihara dan dipertahankan oleh Islam. Semuanya menunjukkan kedudukan dan darjat mereka yang diiktiraf. Qiwamah lelaki tidak boleh mencabuli ketetapan ini. Tidak sama bukan bererti menindas sebagaimana yang diwar-warkan oleh pihak Barat dan mereka yang tidak memahami syari’at Islam. Syed Qutb menyatakan:
Sesungguhnya qiwamah ini bukanlah menafikan kewujudan individu wanita di dalam rumah, masyarakat dan sosial. Sesungguhnya ia adalah tugas dalam konteks institusi keluarga bagi memastikan pengurusan yang baik dalam institusi yang penting ini yang perlu dipelihara dan dipertahankan. Dan wujudnya qiwamah dalam sesuatu institusi tidak menafikan kewujudan individu lain atau membatalkan hak-hak mereka yang berkongsi di dalamnya. (Syed Qutb, Fi Dzilal al-Qur’an)
14. Bahkan qiwamah lelaki mewajibkan suami melaksanakan tanggungjawab dan kewajipannya terhadap isteri dan keluarganya. Golongan wanita dan ahli keluarga sebenarnya selamat dan terlindung dengan adanya qiwamah lelaki ini. Islam yang menetapkan dan mewajibkannya. Bayangkan jika ia tidak wujud dan tiada tanggungjawab tertentu terhadap individu dalam keluarga, maka institusi ini menjadi kucar-kacir. Tiada ertinya rumahtangga tanpa keamanan dan ketenangan.
Faktor qiwamah
15. Qiwamah lelaki bukannya jawatan dalam institusi keluarga. Ia juga bukan lesen untuk menindas orang lain khususnya isteri. Mungkin inilah yang menjadi ketakutan golongan wanita. Tambahan pula realitinya sekarang para suami yang memang menjadikan qiwamah sebagai lesen dan jawatan yang menghalalkan segala tindakan mereka dalam keluarga. Tindakan suami yang seumpama ini bukan menggambarkan qiwamah yang sebenar dalam Islam walaupun mereka berhujjahkan qiwamah. Kita perlu teliti semula firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 34 bermaksud:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal (qawwamun) yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
16. Qiwamah dalam ayat ini berdiri atas dua faktor; iaitu yang pertama kelebihan yang Allah SWT berikan kepada lelaki berbanding wanita. Yang kedua adalah faktor membelanjakan harta untuk memberi nafkah kepada golongan wanita. Jadi dua sebab ini sahaja yang menjadikan golongan lelaki mendapat qiwamah. Kedua-duanya perlu digunakan dan diurus dengan baik. Kegagalan dalam kedua-dua faktor ini boleh menghilangkan qiwamah lelaki ke atas golongan wanita.
17. Kelebihan yang Allah Azza wa Jalla jadikan kepada golongan lelaki berbanding wanita adalah berdasarkan sifat semulajadi dan biologi penciptaan mereka. Golongan wanita jauh lebih lembut dan jiwanya halus berbanding lelaki. Lelaki pula lebih kuat dan cekal mananggung masalah berbanding wanita. Ini adalah sunnatullah yang ditetapkan oleh al-Khaliq. Kelebihan ini juga wujud dengan sebab perintah Allah SWT yang ditujukan khusus bagi lelaki tetapi perintah ini tidak ditujukan kepada wanita.
18. Ada yang silap dalam memahami isu ini dengan bersandarkan riwayat yang menyebut golongan wanita kurang akal dan agamanya. Riwayat ini tidak salah, tetapi yang salah adalah kefahaman terhadap riwayat ini. Secara ringkas sebenarnya akal wanita dikatakan kurang sebenarnya dengan maksud biologi penciptaan dan sifat semulajadi mereka, lalu Islam menetapkan persaksian mereka berbanding lelaki adalah dengan nisbah 2:1, maka memang kurang pada aspek ini. Tetapi bukan bermakna mereka tidak pandai dan cerdik. Cerdik dan pandai boleh diusahakan, siapa yang rajin dan berusaha dia lebih berjaya. Di UPSI nisbah siswi berbanding siswa adalah 3:1 dan yang berjaya dengan cemerlang majoritinya juga adalah siswi.
19. Manakala kurangnya agama wanita pula maksudnya mereka tidak penuh melakukan ibadat solat atau puasa sebagaimana lelaki dengan sebab uzur syar’ie yang telah Allah Azza wa Jalla tetapkan untuk mereka. Perkara ini juga ada kaitan dengan biologi penciptaan mereka. Tidak melakukan ibadat ketika uzur inilah yang menjadikan agama mereka kurang. Namun ia bukan bermakna lelaki lebih khusyu’ atau banyak pahalanya berbanding wanita. Kita melihat yang suka ke masjid solat berjemaah, yang suka mendengar kuliah agama, dan aktif dalam kelas bertanya tentang hukum-hakam agama, lebih ramai wanita daripada lelaki. Jadi kefahaman ini yang perlu diperbetulkan, bukannya menghukum Islam sebagai agama yang menindas wanita hanya kerana isu qiwamah dengan melihat zahir nas al-Qur’an atau al-Hadith.
20. Kesimpulannya, qiwamah adalah amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh golongan lelaki tanpa menafikan sedikitpun hak, kemuliaan dan kedudukan wanita. Inilah qiwamah sebenar, bukan seperti yang didakwa oleh mereka yang tidak memahaminya.
petikan: http://hjanhar.blogspot.com/
0 ulasan:
Post a Comment