Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

3 Golongan Di Sisi Allah SWT

Allah s.w.t. cinta kepada tiga golongan dan tiga golongan dari mereka lebih dicintai iaitu:

* Allah s.w.t. kasih kepada orang yang bertaqwa dan kepada pemuda yang taqwa lebih dikasihi.
* Allah s.w.t. kasih kepada orang miskin, tetapi orang miskin yang memiliki budi pekerti mulia lebih dicintai.
* Allah s.w.t. kasih kepada orang yang tawadhuk (merendahkan diri) dan kepada orang kaya yang tawadhuk lebih dikasihi.



Rasulullah s.a.w. juga bersabda: ” Sesungguhnya Allah s.w.t. membenci tiga golongan tetapi benciNya kepada tiga golongan dari mereka lebih berat iaitu:

* Allah SWT membenci orang fasiq tetapi lebih dibenci adalah orang tua yang fasiq.
* Allah SWT membenci orang yang kikir (kedekut) tetapi lebih dibenci adalah orang kaya yang kikir atau kedekut.
* Allah SWT membenci orang yang sombong tetapi lebih dibenci adalah orang miskin yang sombong.

petikan:
http://peribadirasulullah.wordpress.com/ &
http://peribadirasulullah.wordpress.com/

7 Pesanan Penting Rasulullah SAW Kepada Abu Zar

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar r.a. berkata: ” Saya dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad s.a.w. tujuh macam yang tidak sampai saya tinggalkan dan tidak akan saya tinggal semua itu iaitu:
-Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka.
-Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang dibawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang di atasku.
-Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meski pun mereka jauh dan dekat, jangan memutuskan hubungan dengan mereka.
-Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau khazanah segala kebaikan.
-Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia, tetapi mohonlah kepada Allah SWT.
-Saya dipesan supaya jangan takut di dalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek.
-Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat.


petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com/

4 Jenis Hati

1. Hati Hidup dan Sempurna atau selamat Sejahtera – ialah hati yang tenang diselaputi dengan iman dan dipenuhi dengan cahaya.Yakin dan Ikhlas serta dipenuhi dengan cinta kepada Allah SWT. Mencintai apa sahaja yang Allah Cintai serta Redha kepada Allah SWT.

2. Hati Mati- ialah hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan bersifat ganas, seperti rumah yang ditinggalkan dan didiami oleh syaitan, dipenuhi dengan sifat munafiq, kafir dan maksiat. hatinya adalah seperti hati orang kafir.


3. Hati Sakit- Imannya sentiasa berubah, kadang-kadang menjadi munafiq dan kadang-kadang berminat kepada Islam, Hatinya sentiasa dibelai dengan nafsu, bergelombang dengan fitnah dan tergoda dengan syaitan, ia adalah hati yang terlalu lemah iman.


4. Hati yang Kosong- apa jua diisi ia tidak membawa apa-apa faedah,tidak mengenal kebaikan dan tidak mengenal kejahatan, apa yang menjadi matlamatnya adalah nafsu semata-mata, inilah hati orang munafiq.


petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com

BADAR AL-KUBRA: PERTEMBUNGAN ANTARA TENTERA ALLAH DAN TENTERA TOGHUT

Pada hari ini (17 Ramadan) tahun kedua hijrah telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang tidak wajar dilupakan oleh seluruh umat Islam. Peristiwa tersebut ialah peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang merupakan satu pertembungan antara tentera yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera kuffar Quraisy.

Peristiwa ini adalah merupakan permulaan operasi jihad al-qital di dalam Islam dan tenteranya yang berjumlah 313 orang daripada kalangan sahabat merupakan batalion syuhada yang menyaksikan seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah menemui syahid. Bermula peperangan ini gerakan jihad di dalam Islam tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehinggalah hari Qiamat.

Walaupun peperangan ini bukanlah satu peperangan yang besar dari segi jumlah, masa dan saiznya kerana tidak berlarutan lebih daripada sehari manakala jumlah korbannya hanya 14 di pihak muslimin dan 70 di pihak musyrikin, tetapi kesan yang diperolehi daripadanya amat besar. Ianya tidak sama dengan peperangan lain yang memakan masa selama bertahun-tahun bahkan berpuluh tahun serta angka korban yang mencapai angka puluhan ribu kerana apa yang dinilai ialah objektif peperangan ini yang melakar sejarah permulaan pertembungan berdarah antara kebenaran dan kebatilan, antara tauhid dan juga syirik sehingga digelar dalm al-quran sebagai yaum al-furqan (hari pemisahan):

(وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان)

“Dan tidaklah kali turunkan kepada hamba kami pada hari Al-Furqan pada Hari pertemuan dua pihak”

Rasulullah s.a.w sendiri telah menzahirkan kepentingan dan kehebatan peperangan ini dengan satu doa baginda sehingga kain rida’ yang dipakai baginda terjatuh daripada bahunya ketika mengangkat tangan kerana bersungguh-sungguh dalam doanya yang mana ianya berbunyi:

"اللهم انصر هذه العصابة، اللهم إن تهلك هذه العصابة فلن تُعبد في الأرض بعد اليوم"

“Ya Allah, Kau Berilah kemenangan kepada kaum ini, Ya Allah sekiranya hancurnya kaum ini maka nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selepas hari ini”

Maksud yang ingin dinyatakan oleh baginda dalam doa ini adalah kepenting peperangan yang sedang dihadapi kaum muslimin yang mana ia akan menentukan nasib agama Islam dan tauhid serta ibadah kepada Allah kerana kumpulan muslimin tersebut merupakan kumpulan sahabat yang membawa agama Allah yang terakhir dan tiada lagi Nabi selepas Muhammad serta tiada lagi kitab selepas Al-Quran serta tiada lagi syariat selepas syariat Islam. Sekiranya kumpulan badar ini tewas nescaya akan tewaslah Islam dan berakhirlah agama tauhid di muka bumi ini.

Dalam peperangan ini telah berlaku beberapa babak-babak yang membuktikan ketinggian keimanan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan kejayaan baginda mentarbiyah para jamaah muslimin samada kaum ansar dan muhajirin yang dibentuk di dalam madrasah nabawiyyah selama 13 tahun di Makkah dan selepas 2 tahun di Madinah.

Ketika mana Rasulullah bermusyawarah dengan para sahabat berkaitan kesediaan mereka untuk pergi berperang maka salah seorang daripada mereka yang bernama saidina Miqdad bin Al-Aswad berkata:

: يا رسول الله والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون، بل نقول لك اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون

Wahai Rasulullah, Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana seperti mana berkatanya Bani Israel kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dan tuhanmu dan berperanglah kamu berdua sedangkan kami ingin tinggal di sini, tetapi kami berkata kepadamu: Pergilah kamu dan tuhanmu maka berperanglah sesungguhnya kami akan berperang bersama kamu berdua”

Berkata pula saidina Saad Bin Muaz yang mewakili kaum Ansor:

يا رسول الله كأنك تريدنا، والله يا رسول الله لقد آمنا بك وصدَّقناك وأيقنا أن ما جئت به هو الحق، والله لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه وراءك ما تخلف منا رجل واحد وإنا لصُبُر في الحرب، صُدُق عند اللقاء، سالم بنا من شئت وحارب بنا من شئت لعل الله يريك منا ما تقر به عينك

“Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu menginginkan kami. Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya kami beriman pada denganmu dan kami membenarkan kamu dan kami yakin sesungguhnya apa yang dibawa kamu adalah kebenaran. Demi Allah sekiranya dibentangkan kepada kami lautan luas kemudian engkau merentasinya nescaya kami akan merentasinya bersama di belakangmu dan tidak akan ada orang yang tertinggal walaupun seorang. Sesungguhnya kami orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan, berdamailah dengan sesiapa pun yang engkau mahu bersama kami dan perangilah sesipa pun yang engkau mahu bersama kami semoga Allah menunjukkan apa yang menyejukkan matamu.”

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar menerusi peristiwa peperangan badar semoga iman kita di bulan Ramadan ditingkatkan oleh Allah.


petikan: http://ibnubarqi.blogspot.com/

LAPORAN : MESYUARAT AGUNG TAHUNAN DPM (MAQAZ) SHOUBRA KALI KE 18


SHOUBRA, 21 OGOS - Bertempat di Dewan Ibnu Jazari, Mesyuarat Agung Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra kali ke 18 telah berlangsung dengan jayanya. Dengan tema "Memperkemas Akauntabiliti, Memantap Organisasi ", seramai 65 orang ahli telah menyerikan sidang mesyuarat pada tahun ini.

Majlis perasmian dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan bacaan ayat suci Al - Quran yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Salman bin Mohd Ali Rajab. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan Pengarah Mesyuarat Agung Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra kali ke 18, Ustaz Ahmad 'Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki yang disusuli dengan ucapan Pengerusi DPM (MAQAZ) Shoubra 2009/2010, Ustaz Muhamad Naim bin Hassan. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Badan Ekonomi PMRAM 2010, Ustaz Muhammad Alhidayat bin Khalid yang merupakan Badan Pengurus angkat PMRAM cawangan Shoubra.Persidangan kali ini diserikan lagi dengan kehadiran Ustaz Mohd Farkhan bin Md Zain, Naib Presiden 3 PMRAM 2010 dan Ustaz Syeikh Mohd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Setiausaha Agung PMRAM 2010.

Agenda Mesyuarat Agung Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra kali ke 18 diteruskan dengan agenda pembentangan laporan aktiviti tahunan, perbahasan usul,. Sidang mesyuarat sebulat suara menerima usul "Memantapkan Halaqah Muzakarah dan memperkasakan peranan Unit Biah Solehah dan Unit Hisbah bagi mengekalkan suasana Islami di bumi Shoubra" yang dibawa oleh saudara Muhamad Ridzuan bin Adzemi.

Seterusnya persidangan mesyuarat meyaksikan perletakan jawatan kepimpinan DPM (MAQAZ) Shoubra 2009/2010 yang telah diumumkan oleh Pengerusi DPM , Ustaz Muhamad Naim bin Hassan.

Sebelum sidang mesyuarat berakhir, majlis memberi ruang kepada barisan AJKT DPM (MAQAZ) Shoubra sesi 2009/2010 untuk menyampaikan kata-kata akhir.

Seusai solat Asar, wakil Suruhanjaya Pilihanraya Shoubra, Mohamad Rasul bin Abd Karim bagi mengumumkan barisan AJKT DPM (MAQAZ) Shoubra sesi 2010/2011. Majlis disusuli dengan ta'aruf ringkas barisan AJKT dan ucapan Pengerusi DPM (MAQAZ) sesi 2010/2011, Ustaz Ahmad 'Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki

Majlis diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada barisan AJKT sesi 2009/2010 dan mahasiswa cemerlang 2010. Jutaan penghargaan tidak terhingga buat barisan kepimpinan AJKT DPM (MAQAZ) sesi 2009/2010 dalam sama-sama menerajui kepimpinan PMRAM cawangan Shoubra. Semoga pengorbanan dan tenaga yang dicurahkan bagi mencapai matlamat yang dibawa PMRAM terutamanya menyatupadukan suara anak-anak Melayu yang berada di Mesir ini mendapat keberkatan dari Allah s.w.t

Sumber: Laman Rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra

8 Bahaya Akan Menimpa Orang Yang Ketawa

Abul Laits berkata: “Awaslah kamu dari tertawa bergelak kerana mengandungi lapan bahaya iaitu:

* Tercela oleh ulama dan orang yang sopan sempurna akal.
* Memberanikan orang bodoh kepadanya.
* Jika engkau bodoh nescaya bertambah kebodohanmu dan bila engkau alim berkurang ilmumu sebab ada riwayat: Seorang alim jika tertawa bererti telah memuntahkan ilmunya.
* Melupakan dosa-dosa yang lampau.
* Memberanikan berbuat dosa dimasa mendatang sebab bila tertawa gelak membekukan hatimu.
* Melupakan mati dan akhirat.
* Engkau menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawamu.
* Tertawa gelak-gelak itu menyebabkan banyak menangis diakhirat.

petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com/

Tazkirah Ramadhan: 10 Sikap Buruk Manusia Yang Dicela Allah

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku Tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh Ketika Makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak Bercakap 
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka Marah-Marah
 Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad Dengki 
 Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan’ (Riwayat Muslim).

5. Kedekut & Bakhil
 Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-Megah
 Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan Dunia 
 Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah saw bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau Sombong 
 Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan Suka Bangga Diri 
 Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan Pujian atau Riak
 Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

* Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk  dalam kategori melakukan dosa besar.

Petikan: http://fazakkeer.blogspot.com/

3 Malam Yang Allah SWT Zahirkan Kekuasaan-Nya


1. Pada Bulan Rejab, Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya dengan berlakunya Isra’ dan Mikraj sehingga Solat difardhukan pada malam tersebut.

2. Pada Bulan Syaaban, Malam Nisfu Syaaban, Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya dengan semua buku catatan amalan manusia ditukarkan.

3. Pada Bulan Ramadhan, Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya dengan menghantarkan rombongan Malaikat Rahmat agar mengunjungi hamba-hamba Allah SWT yang rindukan Allah SWT, yang hidup suci tanpa maksiat di siang hari dan berqiamullail di malam hari iaitu Malam Lailatul Qadar.

Berbahagialah orang yang beriman kepada Allah SWT yang sepanjang hayatnya berada di atas landasan Allah SWT, tidak sesaat pun hayatnya digunakan untuk nafsu dan maksiat serta melayani permintaan syaitan.

Petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com/

Kelebihan Yang AlLah Titipkan kepada Ramadhan


Ramadhan mendapat pelbagai anugerah yang amat istimewa dikurniakan AlLah SWT (Yang Maha Sempurna Keperkasaan-Nya) kepadanya yang tidak pernah dan tidak akan diberikan kepada kepada bulan-bulan atau hari-hari yang lainnya. Pelbagai ragam hak istimewa Ramadhan ini telah tertinta kejap dan kemas, tidak akan berganjak, dulu, kini, dan selama-lamanya. Kalam AlLah, al-Qur’an dan Sabda Junjungan SAW menjelaskan keberadaan fenomena ini. Antaranya;

a) Ramadahan bisa menguburkan bangkai-bangkai dosa yang terhimpun di kanvas usia. Hal ini dapat disaksikan lewat sebuah sabda yang menceritakan bagaimana pada suatu hari Baginda SAW menyebut amin, amin, amin. Apabila ditanya kepada Baginda SAW, apakah yang mendorongnya menyebut amin sehingga 3 kali? Baginda SAW menjelaskan ucapan amin itu dilafazkan kerana Jibril AS telah memberitahu sesuatu iaitu;" Celakalah kepada sesiapa yang diberi peluang menghirup udara Ramadhan, tetapi dosanya tidak diampunkan, Baginda SAW menjawab amin. Celakalah sesiapa yang masih diberi peluang hidup bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya tapi dipersia-siakannya, tidak dilaksanakan kewajipan dan haq-haqnya, sehingga menyebabkannya ke neraka, Baginda SAW menjawab amin. Celakalah sesiapa yang mendengar namaku disebut, tapi dia tidak berselawat untukku. Baginda SAW menjawab amin.

b) Ramadhan mampu menghantar pencandunya ke syurga. Situasi dan kondisi ini dapat dirujuk dalam sebuah Sabda Baginda SAW yang mulia; "Barang siapa yang dihujani rasa gembira dengan kedatangan Ramadhan, AlLah SWT mengharamkan jasadnya daripada dijilat dan digigit neraka".

c) Kelebihan dan kemuliaan Ramadhan tidak mampu dijumlahkan. Ada sebuah sabda yang mampu dijadikan sandaran;"Seandainya umat-umatku tahu kebaikan, kelebihan, keistimewaan yang tersimpan dalam khazanah Ramadhan, nescaya mereka menginginkan agar semua bulan yang ada dalam setahun menjadi Ramadhan".

Deretan keistimewaan, gugusan kelebihan, lautan kebaikan yang terhidang dan tersedia dalam Ramadhan hanya dapat dilihat dengan pandangan hati, bukan melalui pandangan mata, pandangan akal, atau pandangan nafsu. Justeru, hati yang kudus dan bersih daripada sebarang pautan noda, atau daripada gangguan hanyir dosa amat diperlukan, agar hati menjadi bersih.

d) Puasa Ramadhan terlalu istimewa di sisi-Nya. Berbeza dengan semua celupan amal soleh yang lain. Uniknya puasa ini kerana pelakunya (seseorang yang sedang berpuasa) tidak dapat dikenali melalui pemerhatian fizikalnya. Orang yang sedang menjalani ibadat puasa sama sahaja dengan seseorang yang yang tidak berpuasa dari segi fizikalnya. Justeru, Baginda SAW telah menghamparkan sabda lewat hadis kursi; "Semua gugus amal Anak Adam untuknya kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan menyempurnakan balasan pahalanya".

e) Aroma yang keluar daripada mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi-Nya daripada bau wangian kasturi. Fenomena ini dikeranakan oleh, orang yang sedang tekun menjalani ibadat puasa, bukan sahaja tidak memasukkan ke dalam sarang perutnya makanan yang haram atau subhah, malah makan dan minum yang halalpun tidak akan disampaikan ke perutnya, semua ini kerana menjunjung dan meletakkan perintah AlLah SWTdi tempat yang paling tinggi.

f) Sebarang amal yang selama ini hanya dilabelkan sebagai sunat, apabila dikerjakan pada bulan Ramadhan akan dibalas dengan pahala beramal dengan amalan yang fardu, sementara amal yang dinisbahkan dengan status fardhu akan digandakan sehingga 70 kali ganda.
g) Mudah dan senangnya untuk melakukan semua amal soleh pada bulan Ramadhan, seolah-olah setan dan sekutunya dirantai atau dipenjarakan. Lantaran itu, dapat dilihat pada bulan Ramadhan masjid, surau, musalla, dan yang seumpamanya dipenuhi dengan kunjungan manusia yang selama ini tidak pernah sudi menjejak kakinya ke halaman rumah AlLah tersebut.

h) Semua pintu rahmat dan syurga dibuka, sementara semua pintu menuju ke neraka ditutup dengan kemas rapi. Walaupun semua pepintu syurga dibuka seluas mungkin, tetapi kita tidak berminat menuju ke situ, kita mengambil sikap melarikan diri sejauh-jauhnya daripada pintu yang terbuka itu. Selamanya kita tidak akan berpeluang untuk menghuni di dalam syurga itu. Oleh sebab pintu telah terbuka, kitalah sewajarnya bergegas, berlari selajunya, untuk berebut-rebut memasukinya. Sama halnyalah dengan kondisi, apabila semua pintu neraka tertutup rapat. Kita juga layak terjun ke dalamnya seandainya, kita dengan sedaya-upaya, mengumpul segala kudrat yang ada cuba memecahkan pintu tersebut. Oleh sebab itu apabila semua pintu telah tertutup, janganlah kita yang menjadi pembukanya.

i) Tersedia pada salah satu daripada malamnya kelebihan (bonos) beramal dengan ganjaran lebih daripada 1000 bulan, pada hening dan tenangnya Lailatul Qadar. Hanya Maha Suci AlLah SWT sahaja yang mampu menyediakan dan membalas amal yang sedikit yang dilaku manusia dengan balasan yang sehebat dan semulia itu. Hanya pada Lailatul Qadar adanya kelebihan itu, tersimpan di sela-sela malam di penghujung pada fasa ketiga dalam bulan Ramadhan. Apabila kita susuri perjalanan malam Baginda Nabi SAW, kita dapati Baginda SAW menghidupkan keseluruhan malamnya. Mengejutkan anak-anak dan isteri-isterinya untuk sama-sama memberi makna dan warna malam-malam terakhir daripada Ramadhan. Baginda SAW juga hanya berbuka dengan 3 biji tamar dan beberapa tegukan air sahaja dan Baginda SAW menyimpan makanannya dibawa ke waktu sahur. Hal ini dilaku Baginda SAW agar badannya menjadi lebih ringan untuk menyempurnakan kepelbagaian resepi dan menu pengabdian kepada AlLah SWT, bermula seawal malam.

j) Selamanya AlLah SWT sememangnya dekat dengan hamba, tapi dalam bulan Ramadhan AlLah SWT lebih dekat dengan kita. Lantaran hampir dan dekatnya AlLah SWT kepada kita, manusia dipersila untuk menyatakan permohonan kepada-Nya dengan jaminan semua doa akan dimakbulkan seadanya. Para ulama’ menjelaskan ada 4 cara AlLah SWT memakbulkan doa hamba; a) ditunaikan segera b) ditangguhkan untuk seketika c) dibabaskan atau dijauhkan daripada mara bahaya d) ditukar dalam bentuk pahala di akhirat.

k) Puasa Ramadhan menjadi aset dan tiket untuk bertemu-Nya pada hari akhirat. Sebetulnya nikmat terbesar bagi seserang hamba di akhirat sana bukanlah dapat dan layak memasuki serta menghuni syurga Firdaus buat selama-lamanya. Tapi nikmat yang tidak mampu digambarkan oleh seluruh lukisan jiwa raga dan catatan kepuasan ialah dapat bertemu dengan AlLah. Untuk itu Baginda Rasul SAW telah menintakan sabdanya yang mengundang maksud ; "Bagi sesiapa yang berpuasa itu akan tersedia 2 kegembiraan, hujan gembira menemaninya apabila mengadap santapan berbuka, dan kegembiraan yang paling agung pula menantinya apabila dapat bertemu dan menatap kehadrat AlLah SWT Yang Maha Hebat".

Jelasnya, terlalu banyak gugusan kelebihan yang tersimpan dalam kandungan Ramadhan yang sebetulnya tidak mampu kita jumlahkan. Hanya AlLah Yang Maha Mengetahuinya. Kurniaan yang tidak pernah bertepi sebetulnya. Justeru, tepuk dada tanya iman masing-masing.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali merakamkan dalam kitabnya ‘Mauizatul Mukminin’ dalam segmen Kitab Rahsia Puasa ; "sebesar-besar nikmat yang pernah AlLah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya ialah dengan menjadikan puasa sebagai benteng bagi para wali dan perlindungan daripada segala rangkaian tipu daya dan belitan muslihat syaitan dan angan-angan".

Dalam usaha membina susuk dan wajah puasa yang cemerlang tentunya, Yang Dirahmati AlLah Imam al-Ghazali telah mencerakinkan puasa kepada dua bahagian, puasa zahir dan puasa batin. Huluran yang didapat daripada puasa yang memenuhi kewajipan zahir ini hanyalah gigitan lapar dan panahan dahaga sahaja, sementara puasa yang diserta dengan kewajipan batin mampu mencorak warna dan arena baru kepada pelakunya.

Menurut Imam al-Ghazali menggariskan ada 6 prasyarat untuk menggondol rahsia-rahsia dan syarat kebatinannya.

i. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan agar tidak mendarat dan singgah kepada sesutu yang tercela dan dibenci oleh agama, dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya daripada berzikir dan mengingati AlLah.

ii. Menjaga dan memelihara jeliran lidahnya daripada percakapan yang tidak bermanfaat (omong kosong), berbohong, mencaci, memaki, mengumpat, bercakap kotor, menghasut, menimbulkan permusuhan, mengadu domba, dan riya’.

iii. Memelihara telinganya daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci. Sebanyak mana yang dilarang melalui lidah kita menuturkannya, maka haramlah pula jika kita cuba menjadi pendengar setianya.

iv. Memelihara seluruh anggota lain dari sengaja berbuat dosa. Kaki dan tangan tidak diarahkan untuk berbuat dosa, menahan perut daripada memasukkan makanan yang syubhah sewaktu berbuka apalagi jika makanan yang haram. Makan sekadar keperluan badannya sahaja. Misalnya kondisi badan biasanya boleh diisi dengan sebungkus nasi, maka pada bulan puasa juga tidak selayaknya kita makan sehingga 5 atau 6 bungkus.

Imam al-Ghazali memetik sebuah sabda yang bermakna; ‘Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi yang didapatinya hanyalah lapar dan dahaga semata-mata’ Siapakah mereka yang dimaksudkan melalui hadis di atas? Imam al-Ghazali menggariskan ada 3 jenis manusia iaitu; 1-orang yang berbuka dengan makanan yang haram 2- orang yang mencaci dan memaki orang lain 3- orang yang tidak memelihara anggotanya daripada berbuat dosa.


v. Janganlah dia membanyakkan makan dan minum sewaktu berbuka sehingga kurang larat untuknya bagi mengerjakan solat.

vi. Hendaklah hatinya berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tidak mengetahui apakah amalannya (puasa dalam sebulan Ramadhan) diterima AlLah ataupun tertolak.

petikan: http://fauziamirgus.blogspot.com/