Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

10 Hikmah DiSebalik Bala Allah swt

1- Yakinlah Allah SWT tidak mendatangkan bala melainkan untuk menambahkan keyakinan bahawa ianya adalah balasan daripada Allah SWT dan yakinlah Allah SWT akan memberi ganjaran dikemudian hari nanti.

2- Allah SWT tidak akan mendatang bala kecuali untuk menghapuskan dosa hambaNya dan merawat dosa tersebut.

3- Membuktikan Allah SWT telah menghapuskan dosa yang telah dilakukan pada masa lalu.

4- Setiap bala yang terlaksana adalah penentuan daripada Allah SWT.

5- Allah SWT berhak menguji setiap hambaNya.

6- Setiap kejahatan yang dilakukan oleh manusia layak menerima bala daripada Allah SWT.

7- Hanya dengan bala daripada Allah SWT yang mampu menyedarkan manusia.

8- Yakinlah pada bala yang Allah SWT turunkan tersimpan sejuta penawar untuk hambaNya yang diuji.

9- Bala yang Allah SWT turunkan bukanlah bertujuan untuk membunuh atau memusnahkan semua manusia malah untuk menguji kesabaran manusia.

10- Allah SWT layak menguji hambaNya dengan berbagai cara samada dengan rahsia atau mudharat, secara nikmat atau bencana. Semuanya bertujuan untuk memperlihatkan penyembahan Allah SWT hendaklah dilakukan dalam semua keadaan. Hanya hamba-hambaNya yang benar Ikhlas sahaja yang mampu melalui ujian Allah SWT dengan tenang.


sumber: http://peribadirasulullah.wordpress.com/

UntukMU PMRAM


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

P persada dunia namamu disebut
E erti sebuah keunggulan
R rukun damai kau pasakkan
S selari kehendak syariat Islam
E engkau jatuh dan bangun tetap berdikari
K kalah atau menang terus berdiri
U utuh merentasi abad dan zaman
T tembok perpecahan kau hancurkan
U untuk sebuah kesatunan satu perjuangan
A andai diizin takdir tuhan
N nekadmu terus menjulang Islam

M marilah teman sekalian
E eratkan ukhuwwah dan ikatan
L lestarikan di atas nama kesatuan
A ayuh sama-sama kita lahirkan insan
Y yang tak gentar menerus perjuangan
U untuk kegemilangan Islam terus dijulang

R rentetakan sejarah membuktikan
E engkau berjasa mentadbir pejuangan
P pernah jatuh tersimpuh sendirian
U usiamu telah membuktikan..walau
B berlalu dekat mencecah abad
L lambaian keizzahanmu tetap gah
I izzahmu seiring menjulang tema
K kemantapan fikrah membina sahsiah

A ayuh teman ayuh rakan
R ribatkan tautan ukhuwwah kita
A andai jamaah ini difitnah
B bai'ah kita usah digoyah

M majulah bersama saff kepimpinan
E eratkan kembali tali perpaduan
S sisihkanlah segala anasir perpecahan
I insya-Allah janji tuhan pasti datang
R raudhatul jannah tempat dijanjikan.

Telah Dihalalkan 'Apel' Itu

Seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Tiba-tiba dia melihat Sebuah apel jatuh keluar pagar sebuah kebun buah-buahan. Melihat apel yang merah ranum itu tergeletak di tanah membuat air liur Tsabit terbit, apalagi di hari yang panas dan tengah kehausan. Maka tanpa berfikir panjang dipungut dan dimakannyalah buah apel yang lazat itu, akan tetapi baru setengahnya di makan dia teringat bahawa buah itu bukan miliknya dan dia belum mendapat izin pemiliknya.

Maka ia segera pergi kedalam kebun buah-buahan itu hendak menemui pemiliknya agar meninta dihalalkan buah yang telah dimakannya. Di kebun itu ia bertemu dengan seorang lelaki. Maka langsung saja dia berkata, “Aku sudah makan setengah dari buah apel ini. Aku berharap anda menghalalkannya”. Orang itu menjawab, “Aku bukan pemilik kebun ini. Aku Khadamnya yang ditugaskan menjaga dan mengurus kebunnya”.

Dengan nada menyesal Tsabit bertanya lagi, “Dimana rumah pemiliknya? Aku akan menemuinya dan minta agar dihalalkan apel yang telah ku makan ini.” Pengurus kebun itu memberitahukan, “Apabila engkau ingin pergi kesana maka engkau harus menempuh perjalan sehari semalam”.

Tsabit bin Ibrahim bertekad akan pergi menemui si pemilik kebun itu. Katanya kepada orang tua itu, “Tidak mengapa. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan apel yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah s.a.w. sudah memperingatkan kita melalui sabdanya: “Siapa yang tubuhnya tumbuh dari yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka”

Tsabit pergi juga ke rumah pemilik kebun itu, dan setiba di sana dia langsung mengetuk pintu. Setelah si pemilik rumah membukakan pintu, Tsabit langsung memberi salam dengan sopan, seraya berkata,” Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur makan setengah dari buah apel tuan yang jatuh ke luar kebun tuan. Kerana itu mahukah tuan menghalalkan apa yang sudah ku makan itu?”

Lelaki tua yang ada dihadapan Tsabit mengamatinya dengan cermat. Lalu dia berkata tiba-tiba, “Tidak, aku tidak boleh menghalalkannya kecuali dengan satu syarat.” Tsabit merasa khawatir dengan syarat itu kerana takut ia tidak dapat memenuhinya. Maka segera ia bertanya, “Apa syarat itu tuan?” Orang itu menjawab, “Engkau harus mengawini putriku !”

Tsabit bin Ibrahim tidak memahami apa maksud dan tujuan lelaki itu, maka dia berkata, “Apakah kerana hanya aku makan setengah buah apelmu yang keluar dari kebunmu, aku harus mengawini putrimu?”

Tetapi pemilik kebun itu tidak mempedulikan pertanyaan Tsabit. Ia malah menambahkan, katanya, “Sebelum pernikahan dimulai engkau harus tahu dulu kekurangan-kekurangan putriku itu. Dia seorang yang buta, bisu, dan tuli. Lebih dari itu ia juga seorang yang lumpuh!”

Tsabit amat terkejut dengan keterangan si pemilik kebun. Dia berfikir dalam hatinya, apakah perempuan seperti itu patut dia persunting sebagai isteri gara-gara setengah buah apel yang tidak dihalalkan kepadanya? Kemudian pemilik kebun itu menyatakan lagi, “Selain syarat itu aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah kau makan !”

Namun Tsabit kemudian menjawab dengan mantap, “Aku akan menerima pinangannya dan perkahwinanya. Aku telah bertekad akan mengadakan transaksi dengan Allah Rabbul ‘alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajiban-kewajiban dan hak-hakku kepadanya kerana aku amat berharap Allah selalu meridhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan
kebaikan-kebaikanku di sisi Allah Ta’ala”.

Maka pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu menghadirkan dua saksi yang akan menyaksikan akad nikah mereka. Sesudah perkahwinan selesai, Tsabit dipersilahkan masuk menemui isterinya. Sewaktu Tsabit hendak masuk kamar pengantin, dia berfikir akan tetap mengucapkan salam walaupun isterinya tuli dan bisu, kerana bukankah malaikat Allah yang berkeliaran dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu juga. Maka iapun mengucapkan salam, “Assalamu”alaikum…”

Tak disangka sama sekali wanita yang ada dihadapannya dan kini resmi jadi isterinya itu menjawab salamnya dengan baik. Ketika Tsabit masuk hendak menghampiri wanita itu , dia mengulurkan tangan untuk menyambut tangannya. Sekali lagi Tsabit terkejut kerana wanita yang kini menjadi isterinya itu menyambut uluran tangannya.

Tsabit sempat terhentak menyaksikan kenyataan ini. “Kata ayahnya dia wanita tuli dan bisu tetapi ternyata dia menyambut salamnya dengan baik. Jika demikian berarti wanita yang ada dihadapanku ini dapat mendengar dan tidak bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia menyambut kedatanganku dengan ramah dan mengulurkan tangan dengan mesra pula”, Kata Tsabit dalam hatinya. Tsabit berfikir, mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan yang sebenarnya ?

Setelah Tsabit duduk di samping isterinya, dia bertanya, “Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa?” Wanita itu kemudian berkata, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah”. Tsabit bertanya lagi, “Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli, mengapa?” Wanita itu menjawab, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah mahu mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat ridha Allah.

Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?” Tanya wanita itu kepada Tsabit yang kini sah menjadi suaminya. Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya. Selanjutnya wanita itu berkata, “aku dikatakan bisu kerana dalam banyak hal aku hanya menggunakan lidahku untuk menyebut asma Allah Ta’ala saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menimbulkan kegusaran Allah Ta’ala”.

Tsabit amat bahagia mendapatkan isteri yang ternyata amat soleh dan wanita yang memelihara dirinya. Dengan bangga ia berkata tentang isterinya, “Ketika kulihat wajahnya… Subhanallah, dia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap”.

Tsabit dan isterinya yang salihah dan cantik itu hidup rukun dan berbahagia.
Tidak lama kemudian mereka dikurniakan seorang putra yang ilmunya memancarkan hikmah ke seluruh penjuru dunia, Beliau adalah Al Imam Abu Hanifah An Nu’man bin Tsabit.





PENILAIAN SEMULA MALAM NISFU SYA’BAN



1. Bulan Sya’ban merupakan bulan kelapan dalam kalendar Islam Hijriah, iaitu sebelum bulan Ramadhan. Kita sepatutnya sudah mula bersedia untuk Ramadhan yang akan menjelang tidak berapa lama lagi. Inilah kelebihan Sya’ban yang kedudukannya sebelum bulan Ramadhan,
kerana Ramadhan mempunyai kelebihan yang tersendiri berdasarkan hadith-hadith nabi SAW. Selain itu, Sya’ban juga mempunyai kelebihan kerana amalan manusia diangkat pada bulan ini.

2. Nabi SAW sendiri diriwayatkan memperbanyakkan ibadah puasa
pada bulan ini berbanding bulan-bulan yang lain. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa:

Tiada nabi SAW berpuasa dalam mana-mana bulan lebih banyak daripada Sya’ban, sesungguhnya dia (nabi SAW) berpuasa Sya’ban semuanya. (Riwayat al-Bukhari)

3. Terdapat juga beberapa hadith yang menyebut tentang fadhilat malam nisfu Sya’ban, iaitu tentang pengampunan Allah Azza wa Jalla untuk hambaNya. Walaupun wujud pertikaian para ulama’ tentang sanadnya, namun ia hanya menunjukkan pengampunan Allah Azza wa Jalla kepada hambaNya dan bukannya pengkhususan ibadah pada malam tersebut. Antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bahawa nabi SAW bersabda maksudnya:

Allah Azza wa Jalla muncul meninjau makhlukNya pada malam nisfu Sya’ban,mengampunkan dosa hamba-hambaNya melainkan dua golongan iaitu; yang bergaduh dan pembunuh. (Riwayat Ahmad)

4. Adapun selain daripada itu, maka Sya’ban sama seperti bulan-bulan yang lain yang diciptakan oleh Allah Azza wa Jalla. Menetapkan dan mengkhususkan amalan-amalan tertentu pada bulan ini atau pada nisfu Sya’ban yang tiada sandaran daripada al-Qur’an dan al-Hadith perlu dielakkan. Ini kerana ibadah kepada Allah SWT berdiri di atas dalil dan perintah sama ada daripada Allah SWT atau RasulNya SAW.

5. Terdapat sebahagian umat Islam yang merayakan malam nisfu Sya’ban dengan mengkhususkan bacaan surah Yaasin sebanyak tiga kali, qiamullail dengan solat sunat seratus rakaat, dan sebagainya. Membaca Yasin dan qiamullail tidak salah, tetapi mengkhususkannya pada malam nisfu Sya’ban itu yang tidak tepat. Ibn Rejab al-Hanbali (795h) berkata:

Dan malam nisfu Sya’ban, para tabi’ien daripada ahli Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain membesarkannya (nisfu Sya’ban) dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah, manusia mengikut mereka… dan kebanyakan para ulama’ al-Hijaz mengingkarinya seperti ‘Ato’, Ibn Abi Malikah, dan Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam menakalkan daripada Fuqaha’ ahli Madinah, dan ia adalah pendapat Ashab Malik dan selainnya, kata mereka: Semua itu adalah bid’ah. (Ibn Rejab, Lata’if al-Ma’arif fima Limawasim al-‘Aam min al-Wazo’if)

6. Jelas, ia tidak dilakukan oleh nabi SAW atau para sahabat RA. Imam al-Syaukani (1255H) pula menyatakan:

Hadith yang menyebut: Wahai Ali, barangsiapa solat seratus rakaat malam nisfu Sya’ban, dibaca pada setiap rakaat al-Fatihah dan Qul huwa Allah ahad sepuluh kali, maka Allah akan tunaikan segala hajatnya… ia adalah palsu. (Al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah)

7. Manakala Imam al-Nawawi (676H) pula menyebut tentang perkara ini bahawa:

Amalan solat yang dikenali sebagai solat al-Ragha’ib, iaitu dua belas rakaat di antara Maghrib dan Isya’ pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, dan solat malam nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat, kedua-duanya adalah bid’ah yang munkar. (Al-Nawawi, al-Majm
u’ Syarh al-Muhazzab)

8. Perlu ditekankan di sini bahawa semua yang dinyatakan di atas ialah jika menetapkan dan mengkhususkan amalan tertentu seperti solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban. Ia boleh menjerumuskan kepada maksud hadith nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Barangsiapa yang mengadakan dalam urusan (agama) kami ini sesuatu yang bukan daripadanya maka ia ditolak. (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Janganlah kamu khususkan malam Jumaat dengan qiam (bangun malam) berbanding malam-malam yang lain, dan janganlah kamu khususkan harinya dengan puasa berbanding hari-hari yang lain, melainkan pada puasa yang seseorang daripada kamu berpuasa padanya. (Riwayat Muslim)

9. Kalaulah dibolehkan kepada kita untuk mengkhususkan salah satu malam dengan ibadah, maka malam yang paling layak adalah malam Jumaat berbanding malam-malam yang lain. Kerana siang hari Jumaat adalah sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya sebagaimana disebut dalam hadith. Apabila nabi SAW melarang kita mengkhususkan malam Jumaat ini dengan qiamullail berbanding malam-malam lain, maka ini menunjukkan bahawa, lebih utama kita tidak boleh mengkhususkan selain malam Jumaat termasuk malam nisfu Sya’ban dengan sebarang ibadah melainkan jika terdapat dalil yang soheh.

10. Ini berbeza dengan malam-malam dalam bulan Ramadhan dan lailatu al-qadr, yang disyari’atkan padanya qiamullail dan dituntut supaya memperbanyakkan ibadah di dalamnya. Kerana nabi SAW sendiri melakukannya dan menyuruh umatnya juga. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Barangsiapa yang bangun (qiam) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang silam. (Riwayat al-Bukhari)

11. Jadi, mengkhususkan ibadah pada malam nisfu Sya’ban, atau malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam Isra’ dan Mi’raj sekalipun, perlu dielakkan bahkan ditinggalkan kerana tiada dalil yang mengkhususkannya.

12. Ini bukan bermakna tidak boleh qiamullail langsung atau membaca al-Qur’an pada malam nisfu Sya’ban, bahkan lakukanlah dengan ikhlas, tetapi lakukanlah juga pada malam-malam yang lain dan juga selain bulan Sya’ban. Mengkhususkan ibadah pada malam nisfu Sya’ban sahaja berbanding malam-malam yang lain itulah pokok perbincangan kita sekarang. Ini kerana perbuatan Allah SWT meninjau hamba-hambanya dan mengampunkan dosa mereka juga berlaku pada setiap malam bukan hanya malam nisfu Sya’ban. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berlalu satu pertiga malam yang pertama, lalu berfirman: Aku adalah raja, Aku adalah raja, sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta kepadaKu, akan Aku berikan, sesiapa yang meminta keampunanKu, akan Aku ampunkan, dan ia akan berterusan sehinggalah terbit fajar. (Riwayat Muslim)

13. Kesimpulannya, untuk menjamin ibadah kita diterima oleh Allah SWT, ia mestilah bertepatan dengan syara’. Semoga penilaian semula amalan kita pada malam nisfu Sya’ban membawa kepada ketepatan tersebut.









Ciri-Ciri Hati Yang Sihat

Pertama:
Jika ia tertinggal wiridnya dari Al-Quran atau zikrullah, atau suatu peribadatan lainnya, maka ia merasakan sakit yang tiada terperi melebihi sakit orang yang tamak dan kikir ketika kehilangan barang kesayangannya.

Kedua :
Ia sentiasa merindui untuk mengabdikan diri di jalan Allah seperti rindunya seseorang kepada orang yang amat disayangi.

Ketiga :
Tujuan hidupnya hanya satu, iaitu taat kepada Allah SWT

Keempat :
Bila ia sedang melakukan solat, maka hilanglah semua kegundahannya pada kenikmatan dunia yang sementara. Di dalam solat telah ia temukan kenikmatan dan kesejukan jiwa yang suci.

Kelima:
Sangat menghargai waktu dan tidak mensia-siakannya, melebihi rasa kekhuatiran orang bakhil menjaga hartanya.

Keenam:
Tidak pernah terputus dan malas dalam mengingati Allah.

Ketujuh:
Lebih mengutamakan pada pencapaian kualiti atas suatu amalan perbuatan daripada kuantitinya. Lebih cenderung kepada keikhlasan beribadat.


Empat jenis racun hati

Pertama: Berlebihan dalam berbicara
Kedua:Berlebihan dalam memeandang
Ketiga: Berlebihan dalam makan
Keempat: Berlebihan dalam bergaul


Sumber: http://www.muslimdiary.com/

Muhasabah Isra' dan Mikraj

1. Memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada nabi SAW untuk diambil pengajaran adalah sesuatu yang dituntut. Peristiwa agung ini dikatakan berlaku dalam bulan Rejab. Sejak kecil kita diperdengarkan dengan ceramah dan tazkirah tentang peristiwa besar ini terutamanya setiap bulan Rejab.

Masjid al-Haram

2. Isra’ maksudnya nabi SAW diperjalankan oleh Allah SWT dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin pada waktu malam. Ia adalah bukti kekuasaan Allah Azza wa Jalla yang maha berkehendak. Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:

Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui.

Masjid al-Aqsa

3. Allah SWT maha berkuasa dan maha berkehendak. Semua makhluk adalah sangat lemah walaupun ada jawatan dan sedikit kuasa di dunia ini. Ibn Kathir (774H) menyatakan:

Allah Azza wa Jalla berbangga dan membesarkan zatNya di atas kuasaNya, tiada seorang pun selainNya, dan tiada tuhan selainNya, yang memperjalankan hambaNya iaitu Muhammad SAW, pada satu juzu’ daripada waktu malam, daripada Masjid al-haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa iaitu Bait al-Maqdis di al-Quds, sebagai membenarkan para nabi sejak nabi Ibrahim. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)

4. Manakala Mi’raj pula ialah perjalanan nabi SAW dari Masjid al-Aqsa ke langit dan seterusnya bertemu Allah SWT. Firman Allah Azza wa Jalla:

Maka apakah kamu (Musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang dilihatnya itu? Dan sesungguhnya dia ( Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (iaitu) di Sidratu al-Muntaha. Di sisiNya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratu al-Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak menyimpang daripada yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Tuhannya yang paling besar.

5. Sepatutnya kita sudah menjadi manusia mukmin yang sebenarnya dalam kehidupan seharian. Kerana saban tahun kita disajikan dengan kisah ini. Jika kita gagal dalam hal ini, maknanya kita gagal mengambil pengajaran daripadanya. Penceramah dan pentazkirah tidak gagal menyampaikan mesej peristiwa ini, yang gagal adalah diri kita sendiri. Inilah yang perlu kita muhasabahkan

6. Kita dianggap gagal jika masih tidak memahami konsep senang selepas susah. Kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini berlaku selepas nabi diuji dengan pelbagai ujian. Wafat isterinya, Khadijah binti Khuwailid yang banyak membantu misi dakwahnya dengan harta dan kedudukannya sedikit sebanyak dirasakan oleh nabi SAW. Wafat pula bapa saudaranya, Abu Talib yang benyak mempertahankan dakwahnya, menjadikan musyrikin mula berani menyentuh nabi SAW dan melakukan penindasan. Allah SWT mendedahkan perasaan nabi SAW ketika ini menerusi firmanNya dalam surah al-Hijr ayat 97-98 bermaksud:

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada orang-orang yang sujud.

7. Pada waktu inilah nabi SAW dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamunya. Kesukaran dan kesakitan nabi SAW diganti dengan kegembiraan dan keyakinan. Inilah konsepnya yang perlu difahami oleh setiap muslim. Kesusahan ketika bekerja diganti dengan kemanisan upah ganjaran. Keperitan ketika belajar diganti dengan kemudahan pada masa depan. Kegetiran ketika berdakwah diganti dengan nikmat pahala dan syurgaNya insyaAllah.

8. Dari sisi yang lain, kita juga dianggap gagal mengambil pengajaran peristiwa agung ini jika menjadi penghalang kepada dakwah Islam. Nabi SAW berhadapan dengan manusia yang membenci dakwahnya. Malang bagi kita jika tidak bersama dengan kumpulan yang bersama nabi SAW, sebaliknya menyokong dan mendokong kumpulan yang menyekat dan anti kepada dakwah nabi SAW. Tiada maknanya Isra’ dan Mi’raj bagi kumpulan ini. Jangan sampai kebencian kita kepada seseorang, menyebabkan kita benci juga kepada dakwah yang dibawanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 8:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.

9. Selain itu, kita juga boleh dianggap gagal mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, jika masih tidak berminat untuk masuk syurga serta tidak takut dengan neraka. Terlalu banyak hadith sahih yang menceritakan tentang peristiwa ini menunjukkan nabi SAW diperlihatkan dengan syurga dan neraka. Kedua-duanya adalah benar, namun ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Inilah maksudnya mereka tidak berminat dan enggan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Semua umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Ditanya kepada nabi SAW: Siapakah yang enggan itu ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga, dan sesiapa yang melakukan maksiat kepadaku adalah orang yang enggan. (Riwayat al-Bukhari)

10. Banyak lagi peristiwa lain gambaran mereka yang enggan masuk syurga sebagaimana yang diperlihatkan kepada nabi SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini. Kita dianggap gagal mengambil pengajaran daripadanya jika masih tidak menutup aurat, mengumpat, terus menerima jawatan yang tidak mampu dipikul dan sebagainya. Nabi SAW telah menyampaikan semua yang diperlihatkan kepadanya itu kepada kita dan tiada yang disembunyikan. Tidak mungkin hati kita terlalu keras sehingga sukar mengerti.

11. Di samping itu, sesuatu yang sangat sinonim dengan peristiwa ini adalah ibadah solat. Kewajipan ibadah ini adalah hadiah istimewa daripada Allah Azza wa Jalla untuk nabi SAW dan umatnya. Ia cukup istimewa kerana nabi SAW menerimanya secara langsung daripada Allah SWT tidak seperti ibadah-ibadah lain. Istimewa kerana fadhilat yang terlalu banyak menerusi perlaksanaan ibadah ini. Juga istimewa kerana gandaan pahalanya yang sepatutnya kita tidak lepaskan peluang untuk merebutnya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa nabi SAW bersabda:

Ia (solat) adalah lima, namun ia sama dengan lima puluh. (Riwayat Muslim)

12. Oleh itu, kita perlu bermuhasabah untuk mencetuskan amal. Tidak cukup sekadar di pinggiran mendengar saban tahun tanpa ada kenginan untuk mengubah diri. Program sedia ada juga perlu diteruskan dan diperkasakan dengan kepelbagaian kaedah agar lebih berkesan.

13. Kesimpulannya, pengajaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj memerlukan tindakan, sebagaimana ilmu memerlukan amal. Jika tiada sebarang tindakan, ertinya gagal.

petikan: http://hjanhar.blogspot.com/