Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

Kisah Sebatang Pokok Epal

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak. Aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,"jawab budak remaja itu.

"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.

Masa berlalu...

Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang.
Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.

Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu
"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya. Aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah,batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya. Aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya. Aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi. Aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.

Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

CERITA INI SENGAJA DIPAPARKAN UNTUK MENGAJAK KITA BERFIKIR TENTANG PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA TERSEBUT. SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG DIMAKSUDKAN DI DALAM CERITA ITU ADALAH
KEDUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APASAHAJA ASALKAN KITA BAHAGIA DAN GEMBIRA DALAM HIDUP.

ANDA MUNGKIN TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITU HAKIKATNYA BAGAIMANA KEBANYAKAN ANAK-ANAK MASA KINI MELAYAN IBU BAPA MEREKA. HARGAILAH JASA IBU BAPA KEPADA KITA. JANGAN HANYA KITA MENGHARGAI MEREKA SEMASA MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI BAPA SETIAP TAHUN.

SEMOGA MEMBERIKAN KEINSAFAN DAN KESEDARAN KEPADA KITA SEMUA.

Kisah Tempayan Retak

Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing bergantung pada kedua hujung sebuah pikulan yang dibawa menyilang pada bahunya.

Satu dari tempayan itu retak, sedangkan tempayan satunya lagi tidak. Tempayan yang utuh selalu dapat membawa air penuh, walaupun melewati perjalanan yang panjang dari mata air ke rumah majikannya.

Tempayan retak itu hanya dapat membawa air setengah penuh.

Hal ini terjadi setiap hari selama dua tahun. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan utuh merasa bangga akan prestasinya kerana dapat menunaikan tugas dengan sempurna. Di pihak lain, si tempayan retak merasa malu sekali akan ketidaksempurnaanya dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari bahagian yang seharusnya ia dapat berikan.

Setiap orang memiliki kekurangan.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak berkata kepada si tukang air, "Saya sungguh malu kepada diri saya sendiri dan saya mohon maaf yang sebesar-besarnya"

"Mengapa?" tanya si tukang air,"Mengapa kamu merasa malu ?" Saya hanya mampu, selama dua tahun ini, membawa setengah porsi air dari yang seharusnya dapat saya bawa. Adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi."

Si tukang air merasa kasihan kepada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya, ia menjawab," Jika kita kembali ke rumah majikan esok, aku ingin kamu memperhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan."

Tuhan sanggup memakai kelemahan kita untuk maksud yang indah.


Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memperhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali merasa sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor dan kembali tempayan retak itu meminta maaf kepada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu,

"Apakah kamu tidak memperhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu ? tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan lain yang tidak retak itu ?"

Itu kerana aku selalu menyedari akan cacatmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini, aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk dapat menghias meja majikan kita. Tanpa adanya kamu , majikan kita tidak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang."

Setiap orang memiliki cacat dan kelemahan sendiri. Kita semua adalah tempayan retak, namun jika kita mau, Tuhan akan menggunakan kekurangan kita untuk maksud tertentu.

Pada pandangan mata Tuhan yang bijaksana, tak ada yang terbuang percuma, Jangan takut akan kekuranganmu. Kenalilah kelemahanmu dan kamu dapat menjadi sarana keindahan Tuhan.

Ketahuilah dalam kelemahan kita, kita menemukan kekuatan kita.=)

Petikan:http://resepirahsiaku.blogspot.com/search/label/KISAH%20TEMPAYAN%20RETAK

Sejarah Solat 5 Waktu

NABI MUHAMMAD SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah swt untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti nabi-nabi lain, umat Nabi Muhammad saw telah diperintahkan untuk mengerjakan lima waktu setiap hari.

Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah terhadap umat Nabi Muhammad saw di mana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika hari perbalasan kelak.

SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan Solat Subuh ialah Nabi Adam as iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihat ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam as pun sembahyang dua rakaat.


Rakaat Pertama : Tanda bersyukur kerana Baginda terlepas daripada kegelapan malam.

Rakaat Kedua : Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

ZOHOR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim as iaitu tatkala Allah telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail as. Seruan itu datang pada waktu gelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.


Rakaat Pertama : Tanda bersyukur bagi penebusan.

Rakaat Kedua : Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.

Rakaat Ketiga : Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah.

Rakaat Keempat : Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus as. Tatkala Baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana Baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada empat kegelapan iaitu:

Rakaat Pertama : Kelam dengan kesalahan

Rakaat Kedua : Kelam dengan air laut

Rakaat Ketiga : Kelam dengan malam

Rakaat Keempat : Kelam dengan perut ikan Nun.


MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib Nabi Isa as iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah daripada kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan daripada kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat Pertama : Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.

Rakaat Kedua : Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya, Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.


Rakaat Ketiga : Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah semata-mata, tiada dua atau tiganya.

ISYAK
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa as. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat Pertama : Tanda dukacita terhadap isterinya.

Rakat Kedua : Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun as.

Rakaat Ketiga : Tanda dukacita terhadap Firaun.

Rakaat Keempat : Tanda dukacita terhadap anak Firaun.

Petikan:
http://resepirahsiaku.blogspot.com/search/label/SEJARAH%20%20SOLAT%20%205%20%20WAKTU

Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati

*Artikel asal oleh :Ustaz Zainudin Hashim

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah Saw yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
(Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud:

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."
(Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik. (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

* Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.


Petikan: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2187