Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

Kisah Renungan: Aku dan 4 Isteri...

"Aku seorang ahli perniagaan yang punya empat isteri. Pada kesempatan ini aku ingin bercerita tentang isteri-isteriku. Berminat? Ayuh, mari ikuti kisahku. Kumulakan dengan isteri yang paling kusayang. Siapa lagi, kalau bukan isteri yang keempat. Dia paling muda, paling bertenaga. Dialah isteri yang paling kucintai. Justeru dia sangat banyak membantuku. Kalau aku keletihan, dialah yang meyelesaikan segala kerja yang melibatkan tenaga. Dia macam tidak pernah keletihan. Oh, bertuah sungguh punya isetri muda yang kuat dan bertenaga. Dia adalah pujaanku yang sentiasa kujaga dan kudambakan kasihnya.

Isteriku yang ketiga tak kurang hebatnya. Dia antara keempat-empat isteriku, dialah yang paling cantik. Wajahnya sangat memikat siapa sahaja yang melihat. Pandai berhias dan bergaul dalam majlis. Dialah yang selalu menemaniku ke majlis-majlis penting. Oh, bangga dalam hati…apabila memperkenalkannya kepada teman-teman. Muka dan tuturnya sangat manis kelihatan.

Isteriku yang kedua apa kurangnya. Walaupun tidak secantik dan bertenaga seperti ketiga dan keempat, dia punya akal yang cerdas. Sangat pandai dan pintar dalam menyelesaikan masalah. Oh, sungguh bertuah…jika aku buntu, dialah yang menjadi tempat rujukku. Ada sahaja buah fikiran dan jalan penyelesaian yang dia ketengahkan.

Aduh, inilah isteri pertama. Rupa tidak ada. Fikiran di tahap biasa-biasa sahaja. Tenaganya pula sudah semakin diragut usia. Kehadirannya semacam tiada. Pergi tidak mengurang, datang tidak menambah. Hendak kucerai tidak sampai hati. Mujur, dia tidak kisah walaupun aku jarang-jarang datang menemuinya. Bukan tidak kasihan, tetapi apa boleh buat, hatiku tidak ada lagi padanya. Isteri tua….

Hidupku riang dan ceria sehingga satu hari, tiba-tiba kurasa badanku lemah. Pandanganku berpinar-pinar. Dan akhirnya aku jatuh terjelepuk sewaktu melangkah keluar daripada satu mesyuarat di pejabatku. Dengan segera aku dihantar ke hospital. Kaki tangan dan badanku tidak dapat bergerak-gerak lagi. Ya Allah…apa sakitku?

Doctor datang dan berkata perlahan, “Maaf tuan, saya terpaksa berterus-terang.” Aku mendengarnya dengan gentar. “Tuan diserang barah di tahap terakhir. Mengikut pemeriksaan dan penyelidikan kami, umur tuan tidak panjang. Paling lama dua bulan. Tetapi ajal maut di tangan Allah. Banyakkanlah berdoa. Di sudut perubatan, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengambil uabt penahan sakit!”

Aduh! Bagai disambar halilintar. Aku akan pergi buat selamanya. Mujur, mulut masih boleh berkata-kata. Lalu kupanggil keempat-empat isteriku. Ingin kutemui mereka seorang demi seorang. Merekalah tempat aku meluahkan resah dan takut di dada ini. Pertama kutemui tentulah isteriku yang tersayang – isteri keempat.

“Yang, kau tahu abang akan pergi tidak lama lagi. Jika ditakdirkan, sudikah kalau kau mati bersamaku? Untuk menemaniku di alam barzakh sana?” tanyaku perlahan sambil meramas-ramas tangannya penuh kasih sayang dan harapan.

“Bang, soal mati jangan buat bergurau. Abang pun tahu saya muda lagi…Abang mahu saya mati sama? Oh, tidak. Abang perlu faham situasi saya. Jika abang mati, relakanlah saya meneruskan kehidupan dengan lelaki lain. Takkah abang tega membiarkan saya yang masih muda ini hidup menjanda.”

Terlepas tangannya yang kupegang. Aku renung matanya untuk mendapat kepastian. Ya, dia pasti. Tidak ada ragu yang dapat “kubaca” daripada sinar matanya. Jika aku mati nanti, dialah isteri yang paling awal tidak bergelar janda. Janda muda, siapa yang tidak teringin!

Apabila isteri ketiga memasuki ruang kamar. Aku masih mampu melontar sisa-sisa senyuman yang masih tinggal. Wajahnya cantik, molek dan rupawan seprti biasa. Oh, alangkah sukar untuk berpisah dengannya nanti.
“Darling, abang akan pergi selamanya…”
“Ya bang, saya sangat sedih membayangkan hidup tanpa abang disisi,” balasnya bersama tangisan.
Ah, ada harapan, bisikku dalam hati.
“Darling, sudikah kalau kau menemani abang di Barzakh nanti, sebagai bukti cinta kita?” kataku menduga cintanya.

Dia tersentak. Matanya yang bak bintang timur seakan terbeliak. Dan lehernya yang jinjang menggeleng-geleng perlahan.
“Bang, kita perlu rasional. Kecantikan saya memang untuk abang, tetapi semasa abang hidup sahaja. Apabila abang mati, say aperlu teruskan kehidupan. Selain daripada harta yang abang wariskan, kecantikan inilah asset saya untuk meneruskan kehidupan.”

Oh, kau juga serupa. Alangkah seksanya apabila memikirkan kecantikanmu akan dinikmati oleh lelaki lain. Harapanku hancur.
Ya, isteri yang kedua adalah harapan terakhirku. Dialah yang sering menyelesaikan sebarang masalah. Tentu “masalah” ini juga mampu diselesaikannya.

“Abang perlu pandangan saya untuk menyelesaikan masalah abang?” Tanya isteri ketiga sebaik bertentang mata.
“Ya, ya…kaulah satu-satunya harapan abang yang masih tinggal.”
“Saya akan membantu sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah abang dengan lancar…”
“Dengan lancar?”
“Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik. Perniagaan abang pun telah saya semak semua hutang piutangnya. Insya-Allah, perniagaan dapat diteruskan. Abang usah risau. Batu nisan yang mahal tealah saya tempah. Begitu juga dengan tanah perkuburan. Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah sudah pun saya tentukan. Abang jangan takut, semuanya sudah selesai saya uruskan.”

“Bukan itu masalah abang. Itu bukan masalahnya. Tapi masalah abang ialah abang takut hidup bersendirian dalam kubur. Sekian lama kau dapat menyelesaikan semua masalah abang…kini bantulah abang seperti biasa.”
“Apa masalahnya, bang?”
“Sudikah kau menemani abang di alam kubur?”

Isteri keduaku terkejut. Dia menutup muka dan berlalu segera sambil menangis. Harapanku hancur. Semua yang tersayang sudah tidak sudi lagi. Aku terkapa-kapa sendiri untuk menghadapi hidup selepas mati. Alangkah sepinya hati dan ngerinya nanti. Tiba-tiba….”Assalamualaiku, bang.”

Ah, terlupa…aku masih lagi punya satu isteri lagi – isteri pertama.
“Waalaikum salam,” jawabku hambar. Aku tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tidak akan mengemukakan apa-apa permintaan, justeru aku dapat meneka apakah jawapannya nanti. Mustahil dia yang sering aku tinggalkan sudi menemaniku.
“Terima kasih kerana abang masih sudi menemui saya,” katanya sebaik bersalaman.

Isteri pertamaku merenung mataku. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangannya walaupun usianya sudah lanjut.
“Abang, saya sanggup menemani abang. Ke mana sahaja. Di mana jua. Saya sanggup menemani abang sekalipun terpaksa mati bersama. Jika ditakdirkan, saya sanggup menemani abnag di alam kubur!”

Ah, alangkah gembiranya hatiku. Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang paling setia dan berguna. Aku terharu dengan keikhlasannya. Dialah hakikatnya isteri sejati dan hakiki walaupun tidak ada tenaga, rupa dan idea.

Saudara-saudari, siapa ‘aku’ dalam cerita di atas? Siapa lagi kalau bukan diri kita. Kitalah yang punya empat ‘isteri’. Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita mendapat kekuatan dan tenaga. Justeru, “dia” kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum dan dilindungi daripada penyakit. Kita sangat sayang kepadanya. Masa, harta dan perhatian kita kekadang dihabiskan sepenuhnya dan seluruhnya untuk membelai anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubat-ubatan serta rawatan kita usahakan untuk mendapat tenaga daripada tubuh badan.

Isteri ketiga kita ialah harta. Siang malam kita memikirkan bagaimana menambahnya. Bagaimana meningkatkan kewangan keluarga. Tidak cukup dengan kerja yang ada, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertambah, simpanan meningkat, kita belikan asset. Kita bangga “memperagakan” rumah, kereta dan segala asset pencarian kita. Ironis sekali, seolah-olah “nilai” kita terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki itu.

Isteri kedua kita ialah anak, isteri, sanak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang selalu kita temui, jemput dan raikan dalam hidup. Hidup akan sepi tanpa mereka di sisi.

Isteri pertama kita ialah amal ibadah kita kepada Allah. Itulah yang sering kita lupakan. Kita pinggirkan. Bila hendak menambah amal? Nanti, esok masih ada. Bila hendak taubat? Tunggu, usia masih muda. Segala kebaikan sama ada yang berbentuk hablumminannas (hubungan sesama manusia) sering tidak mendaoat keutamaan. Segala-galanya hanya seperti “isteri tua” yang tidak mengghairahkan dan menggiurkan lagi.

Namun, akan tiba masanya nanti (dan itu pasti), akan terserlah jua mana “isteri” yang benar-benar jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakarat itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata? Aduh, alangkah sepi dan malangnya kita pada malam pertama di alam kubur sana…tanpa “isteri” yang sudi mendakap kita?


petikan: http://www.hanan.com.my/article.php?sid=1899&mode=thread&order=0

Hari As Syura ( 10 Muharram)


Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari as Syura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari as Syura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari as Syura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari as Syura. (Sahih Bukhari)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari as Syura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`As Syura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.


Sejarah 10 Muharram


Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh 10 Muharram :

- Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
- Diterima taubat Nabi Adam a.s.
- Dicipta Adam a.s.
- Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
- Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
- Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
- Selamat Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
- Selamat Nabi Musa dan pengikutnya.
- Firaun lemas.
- Dilahirkan Nabi Isa a.s.
- Diangkat Nabi Isa ke langit.
- Diangkat Nabi Idris ke langit.
- Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
- Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
- Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
- Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas buta.
- Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
- Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
- Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.



petikan: http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/

Mukjizat Nabi Saw - Semangkuk Susu

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. : demi Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya, (terkadang) aku tidur di atas tanah dengan perut lapar dan (terkadang) aku ikatkan sebuah batu ke perutku untuk menahan lapar. Suatu hari aku duduk di jalan yang biasa dilalui mereka (Nabi Muhammad Saw dan para sahabatnya). Ketika Abu Bakar lewat aku memintanya membacakan untukku sebuah ayat al Quran dan aku memintanya hanya dengan maksud barangkali ia dapat menghilangkan rasa laparku, tetapi ia lewat begitu saja.

Kemudian Umar lewat didepanku dan aku memintanya membacakan untukku sebuah ayat dari kitab Allah dan aku memintanya hanya dengan maksud barangkali ia dapat menghilangkan rasa laparku, tetapi ia lewat begitu saja.

Akhirnya Abul Qasim (Nabi Muhammad Saw) lewat dan ia tersenyum ketika melihatku karena ia tahu maksudku hanya dengan melihat wajahku. Nabi Muhammad Saw bersabda, “wahai Abu Hirr!” aku menjawab, “labbaik ya Rasulullah”. Nabi Muhammad Saw bersabda kepadaku, “ikuti aku”. Nabi Muhammad Saw pergi dan aku berjalan dibelakangnya, mengikutinya.

Kemudian Nabi Muhammad Saw masuk ke dalam rumahnya dan aku meminta izin masuk kerumahnya dan diizinkan. Nabi Muhammad Saw melihat semangkuk susu dan berkata, “darimana ini?” mereka berkata, “itu hadiah dari si fulan untukmu”. Nabi Muhammad Saw bersabda, “wahai Abu Hirr!” aku menjawab, “labbaik ya Rasulullah”. Nabi Muhammad Saw bersabda, “panggillah orang-orang shuffah”

Orang-orang Suffah adalah tamu-tamu Islam yang tidak memiliki keluarga, wang atau seseorang yang dapat mereka mintai pertolongan dan setiap kali objek sedekah diberikan kepada Nabi Muhammad Saw, Nabi Muhammad Saw akan memberikannya kepada mereka sedangkan Nabi Muhammad Saw sendiri sama sekali tidak menyentuhnya. Dan setiap kali hadiah apapun diberikan kepada Nabi Muhammad Saw , Nabi Muhammad Saw akan memberikannya sebagian untuk mereka dan sebagian untuk diri Nabi Muhammad Saw.

Perintah Nabi Muhammad Saw itu membuatku kecewa dan aku berkata kepada diriku sendiri, “bagaimana mungkin susu semangkuk cukup untuk orang-orang Suffah?” menurutku susu itu hanya cukup untuk diriku sendiri. Nabi Muhammad Saw menyuruhku memberikan susu itu kepada mereka. Aku akan takjub seandainya masih ada sisa untukku. Tetapi bagaimanapun aku harus taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Maka aku pergi menermui orang-orang Suffah itu dan memanggil mereka.

Mereka pun berdatangan dan meminta izin masuk kedalam rumah. Nabi Muhammad Saw memberi mereka izin. Mereka duduk di dalam rumah itu. Nabi Muhammad Saw bersabda, “ Wahai Abu Hirr!” aku menjawab, “labbaik ya Rasulullah”. Nabi Muhammad Saw bersabda, “ bawalah susu ini dan berikan kepada mereka”. Maka aku membawa semangkuk susu itu kepada mereka satu persatu dan setiap mereka mengembalikannya kepadaku setelah meminumnya, mangkuk susu itu tetap penuh.

Setelah mereka semua selesai minum dari mangkuk susu itu aku memberikannya kepada Nabi Muhammad Saw yang memegang mangkuk itu seraya tersenyum jenaka dan berkata kepadaku, “ Wahai Abu Hirr!” aku menjawab, “ labbaik ya Rasulullah ”. Nabi Muhammad Saw bersabda, “ masih cukup untuk engkau dan aku ”, aku berkata, “ engkau berkata benar ya Rasulullah! ” Nabi Muhammad Saw bersabda, “ duduklah dan minumlah ” aku duduk dan meminumnya. Nabi Muhammad Saw berkali-kali memintaku untuk meminumnya hingga aku berkata, “ tidak, demi Zat yang mengurusmu sebagai pembawa kebenaran, perutku sudah sangat kenyang”. Nabi Muhammad Saw bersabda, “ berikan kepadaku ”. Ketika kuberikan mangkuk itu kepadanya, Nabi Muhammad Saw memuji dan menyebut nama Allah dan meminum sisa susu itu.

petikan: http://hadits-albukhari.blogspot.com/

Antara Istikharah, Mimpi dan Gerak Hati

Kes 1

Seorang lelaki telah melakukan istikharah setelah dia minat kepada seorang perempuan, Tiga hari selepas istikharah, dia bermimpi melihat wanita itu, tersenyum simpul ke arahnya. Bila diceritakan mimpi itu pada keluarganya, ada yang menganggap bahawa itu bukan hasil istikharahnya, tapi disebabkan dia terlalu berkenan kepada wanita tadi hingga terbawa dalam mimpi

Kes 2

Seorang lelaki yang tidak pernah melihat wanita yang ingin dipadankan untuknya juga tidak pernah berkenalan dengannya kemudian dia istikharah. Selang beberapa hari, dia berasa hambar dengan wanita tersebut . Bila dinyatakan kepada ahli keluarga, ada yang menyatakan bahawa istikharah kurang tepat sebab belum kenal sedikit pun wanita tadi, dah buat istikharah

Kes 3

Seorang lelaki selalu berdoa apa sahaja dalam urusan hidupnya, semoga Allah memberi ilham kepadanya dan menjaganya dari kesilapan besar yang boleh menjatuhkan maruahnya, oleh itu dia akan buat apa sahaja keputusan atau tindakan berdasarkan gerak hati. Jika hatinya tenang terhadap sesuatu perkara maka itulah yang akan dilakukannya



Masalah Istikharah

1. Hadis-hadis berkenaan Istikharah


عن ‏ ‏جابر بن عبد الله ‏ ‏قال ‏
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يعلمنا ‏ ‏ الاستخارة كما يعلمنا السورة من القرآن يقول ‏ ‏إذا هم أحدكم بالأمر فليركع ركعتين من غير الفريضة ثم ليقل اللهم إني أستخيرك بعلمك وأستقدرك بقدرتك وأسألك من فضلك العظيم فإنك تقدر ولا أقدر وتعلم ولا أعلم وأنت علام الغيوب اللهم إن كنت تعلم هذا الأمر ‏ ‏فيسميه ما كان من شيء خيرا لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري أو خيرا لي في عاجل أمري وآجله فاقدره لي ويسره لي وبارك لي فيه وإن كنت تعلم يقول مثل ما قال في المرة الأولى وإن كان شرا لي فاصرفه عني واصرفني عنه واقدر لي الخير حيثما كان ثم رضني به ‏

Maksudnya : Dari jabir Bin Abdullah ra katanya: Adalah nabi saw mengajar kami untuk beristikharah dalm semua perkara sebagaimana baginda mengajar kami surah yang ada dalam Al Quran, baginda bersabda : Apabila salah seorang dari kamu berhasrat untuk melkukan sesuatu perkara mak hendaklah dia solat dua rakaat yang bukan fardhu seraya berdoa (selepas salam):

ليقل اللهم إني أستخيرك بعلمك وأستقدرك بقدرتك وأسألك من فضلك العظيم فإنك تقدر ولا أقدر وتعلم ولا أعلم وأنت علام الغيوب اللهم إن كنت تعلم هذا الأمر ‏ ‏فيسميه ما كان من شيء خيرا لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري أو خيرا لي في عاجل أمري وآجله فاقدره لي ويسره لي وبارك لي فيه وإن كنت تعلم يقول مثل ما قال في المرة الأولى وإن كان شرا لي فاصرفه عني واصرفني عنه واقدر لي الخير حيثما كان ثم رضني به ‏


‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي بكر الصديق ‏
أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏كان إذا أراد أمرا قال ‏ ‏اللهم ‏ ‏ خر لي ‏ ‏ واختر لي ‏

Maksudnya : Dari Aisyah ra meriwayatkan dari Abu Bakr assiddiq bahawa nabi saw apabila hendak melakukan sesuatu perkara, baginda berdoa : Ya Allah berilah kebaikan padaku dan pilihlah untuk ku



عن ‏ ‏جابر ‏ ‏قال ‏
قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إذا استشار أحدكم أخاه فليشر عليه ‏

Maksudnya: Dari Jabir ra katanya Nabi SAW bersabda : Apabila salah seorang dari kamu meminta nasihat dari salah seorang saudaranya hendaklah (saudara tadi) memberi nasihat (pandangan)



2. Beberapa Salah Faham Dalam Konsep Istikharah

Pertama:

Kebanyakan kita beranggapan bahawa solat Istikharah hanya dilakukan tatkala teragak-agak dalam memilih antara dua perkara. Sebenarnya ini kurang tepat kerana nabi Saw menyatakan dalam hadis:


: (( إذا همّ أحدكم بالأمر((.

Perkataan yang Nabi saw yang digunakan ialah " هم" yang bermaksud hasrat, dan bukannya " تردد" ( teragak-agak). Perkataan " همّ" adalah tahap sebelum " عزم"(keinginan kuat)

Apabila mana-mana individu yang ingin melakukan sesuatu pekerjaan, yang mana dia tiada pilihan lain, ini bermakna dia telah berhasrat (همّ) untuk melakukan perkara tersebut, dengan itu bolehlah dia beristikharah kemudian laksanakanlah perkara tadi. Begitulah sebaliknya, jika dia ingin meninggalkan sesuatu perkara yang tiada pilihan untuknya, maka beristikharahlah dahulu kemudian tinggalkan perkara tersebut

Walau bagaimanapun jika individu mempunyai pelbagai pilihan yang dia tidak mampu membuat keputusan, terlebih dahulu dia meminta pandangan yang layak memberi nasihat, kemudian pilihlah salah satu perkara tersebut dan berisitikharah pada satu pilihan tadi.

Kedua :

Ramai antara kita beranggapan bahawa istikhara hanya dilakukan pada perkara tertentu sahaj contohnya dalam bab nikah kahwin, musafir atau perkara yang 'grand', sedangkan dalam Islam, Istikharah ini dilakukan pada semua perkara, kecil atau besar. Berdasarkan sabda Nabi SAW :


(( كان يعلّمنا الاستخارة في الأمور كلّها((

Maksudnya : adalah dia (Nabi saw) mengajar kami beristikharah dalam semua perkara ( riwayat Tirmizi)


Ketiga :

Ramai beranggapan bahawa solat istikharah perlu dilakukan dua rakaat secara khusus.Ini juga kurang tepat kerana bersumberkan hadis Nabi saw :


(( فليركع ركعتين من غير الفريضة.((

Maksudnya : maka hendaklah dia tunaikan dua rakaat yang bukan fardhu

Penggunaan perkataan "من غير الفريضة"( yang bukan fardhu) mengambarkan makna umum merangkumi semua solat sunat hatta solat tahiyat masjid. Ini bermakna, jika sesorang melakukan solat sunat tahiyat masjid misalnya, selepas salam dia berdoa dengan doa istikharah yang diajar nabi SAW, maka dia telah dianggap beristikharah kepada Allah


Keempat :

Ada yang beranggapan bahawa, perlu ada ketenangan terhadap sesuatu perkara setelah beristikharah, bagi membolehkannya melakukan perkara tersebut. Ini juga kurang tepat kerana makna asal istikharah ialah pohon kebaikan dari Allah. Ia juga merupakan salah satu konsep tawakal kepadaNYA sekalipun seseorang itu rasa kurang suka terhadap perkara yang hendak dilakukan

Sila perhatikan kepada firmanAllah SWT:

((
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ)) (البقرة:216)

Maksudnya: dan boleh jadi kamu tidak suka sesuatu perakara sedangkan ia baik bagimu dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu perkara sedangkan ia tidakelok untuk kamu, dan Allah tahu sedangkan kamu tidak mengetahuinya

Salah tanggapan inilah yang menyebabkan ramai mereka di luar sana berkali-kali melakukan istikharah, namun masih teragak-agak untuk membuat keputusan kerana katanya belum tenang hati terhadap perkara tersebut

Kemungkinan ada dikalangan kita yang dapat punyai naluri membuat keputusan, ada yang tidak, oleh itu lakukanlah salah satu perkara, walau pun tidak ada gerak hati terhadap mana-mana perkara kerana sebenarnya Allah akan mudahkan apa sahaja pilihannya


Kelima :

Ada yang beranggapan bahawa perlunya ada mimpi setelah melakukan istikharah, lalu banyak kerja yang tertangguh dek menanti mimpi (atau ilham menurut pandangannya). Apa yang perlu dilakukan olehnya ialah lakukan perkara yang perlu disegerakan setelah beristikharah. Sekiranya dia diberi mimpi baik, itulah "nur" yang dilimpahkan oleh Allah SWT terhadapnya,jika tiada mimpi maka tidak sepatutnya dia menanti sekian lama mimpi itu datang

Inilah beberapa salah faham yang perlu kita perbetulkan atau memberi kesedaran kepada yang masih lagi kurang jelas dalam permasalahan ini . semoga ada kebaikan hasil dari tulisan ini.

Petikan:http://salmanku.blogspot.com/2009/11/antara-istikharah-mimpi-dan-gerak-hati.html

TERKINI: TEMPAHAN KORBAN EIDIL ADHA 1430 H


KELUARGA PELAJAR KELANTAN MESIR(KPKM)
http://ekpkm65.blogspot.com



DEWAN PERWAKILAN MAHASISWA (MAQAZ) SHOUBRA
http://www.mymaqaz92.blogspot.com

Puasa 6 Syawal Sekali Dengan Qadha’

Bagi sesetengah orang, Syawal dianggap bulan berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal masih terdapat ibadat puasa iaitu ‘puasa enam’. Cuma ia tidaklah menjadi suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan.
Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh terdahulu.

Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya. “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi s.a.w itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu disusuli amalan sunat.

Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `seyang tiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih).”

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Sumber/petikan: http://epondok.wordpress.com/

Perutusan Hari Raya Daripada Abah

Assalamualaikum wm wb,

Segala puja & puji tertentu hanya layak dihadapkan ke-hadrat AlLah, Rabb semua Alam. Selawat dan salam hanya layak untuk para anbiya, hamba AlLah yang paling setia taatnya, tidak berbelah & berbahagi, semata-mata hidup & matinya untuk mengabdikan diri buat IlLahi. Salam & deretan doa buat mereka yang sudi mengikuti jejak nabi, dulu, kini, dan selamanya

Anakanda yang jauh,

Eidil Fitri, kedatangannya pada tahun ini tentunya menawarkan satu pengalaman yang berbeza buat diri kita sekeluarga. Anakanda berada di perantauan, jauh pada pandangan mata tapi jauhnya jarak geografi tidak akan berdaya memadamkan keberadaan anakanda dalam hati, ayahanda dan bonda serta adik-adik di bumi malaysia ini. Ya, satu kenyataan yang tidak sesiapa mampu menafikan, di mana pun kita menyambut eidil fitri, situasi dan kondisinya sama sahaja, kerana kita bertakbir dan bertasbih menggunakan lafaz yang sama, memuja dan memuji AlLah yang sama, mengadap AlLah yang sama, sujud merapatkan dahi dengan penh rasa hina diri, menyatakan belitan masalah yang membelenggu diri kepada AlLah yang sama, AlLahu Akbar WallilLahi hamd.

Anakanda yang hebat,

Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain telah mengundangkan rasa hebat apabila kita membaca dan mengikuti sari perjalanan hidup mereka. Rasanya tak tertanding oleh kita kehebatan yang AlLah, telah berikan kepada mereka. Namun, cuba kita fikiri sejenak dengan mata hati dan mata akal yang terbuka waras, adakah kehebatan yang AlLah kurniakan kepada mereka itu, tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka? Adakah mereka hanya tidur bangun, tidur bangun, tidur bangun, akhirnya mereka jadi hebat? Atau di sana ada usaha yang tidak terjumlah yang mereka usahakan, atau di sana ada kegigihan yang tidak bertepi yang mereka lalui, atau di sana ada ketekunan yang meninggi yang mereka lalui, jawaplah dengan hati yang mengerti. Adakah kalau sekiranya kita juga cuba buat seperti mereka(Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain) pada hari ini, AlLah itu maha luas kurniaannya. Ilmu-Nya tidak akan terjejas sedikitpun jika sedikit ilmu yang DIA pernah berikan kepada mereka yang tersebut, juga dipinjamkan kepada kita.

Anakanda, yang sebagai pewaris anbiya,

Tok Kenali merantau dari bumi Kelantan ini menuju bumi anbiya dan menetap di sana berbelas-belas tahun lamnya dengan hanya berbekalkan belasan ringgit sahaja daripada ibunya. Dalam masa kembaraannya mencari ilmu IlLahi itu, tak ada dalam hatinya rasa nak balik sesekali ke bumi tanah lahirnya, kerana dia sedar dia sedang mencari ilmu, bukan pergi melancong ke sana, sekejap nak pergi sekejap nak balik lagi. Sekarang anakanda sedang berada di bumi anbiya, sama seperti mereka yang tersebut di atas, lalu manfaatkan peluang, ruang, keadaan yang ada di sana yang tentunya tidak ada di bumi malaysia ini, untuk menggali, menyimpan, dan mengumpul ilmu itu. Sedarilah dunia kita, masyarakat kita, orang kita, terlalu dahagakan bimbingan untuk mengenal AlLah. Seterusnya menjadi hamba AlLah yang diredhai-Nya.

Selamat eidil fitri buat semua mereka yang sedang mempersiapkan diri untuk menjadi pewaris ilmu nabi.



Hikmat Zakat Fitrah

Antara hikmat yang dapat dirasai dengan mengeluarkan zakat fitrah ialah :

1. Dapat berkongsi bersama kegembiraan dalam menyambut hari raya antara golongan berkemampuan dengan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan.

2. Ia merupakan antara ungkapan syukur atas nikmat Allah yang dilimpahkan kepada orang yang berpuasa.

3. Dapat menutupi kekurangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dan sebagai penyucian terhadap ibadat puasa sehingga ia diterima oleh Allah.

4. Membersihkan diri daripada sifat bakhil bagi harta milik dirinya sendiri dan tamak terhadap harta milik orang lain.

5. Menjalin ikatan persaudaraan yang lebih rapat dengan membentuk sikap penyayang di kalangan umat Islam.


http://epondok.wordpress.com/2009/09/18/hikmat-zakat-fitrah/

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar

Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil Lailatul Qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan. Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, super market, pasa raya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat Bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda Bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda Bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam Lailatul Qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada Bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan Malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda Bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan bagi umat lain.


SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan Malam al-Qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan Malam al-Qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan Malam al-Qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam Bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang Malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan Malam al-Qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari Malam al-Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya Malam al-Qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan Malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Malam al-Qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

Rujukan

1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr.


Sumber/petikan: http://epondok.wordpress.com/2009/09/10/4-sebab-sembunyi-lailatul-qadar/

Tanda Lailatul Qadar


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ وَوَكِيعٌ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ابْنُ نُمَيْرٍ الْتَمِسُوا وَقَالَ وَكِيعٌ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: " Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan".Hadis Riwayat Imam Muslim.

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahu oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita digalakkan untuk menghidup malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq ‘alaih daripada Abu Hurairah yang bermaksud : "Sesiapa yang menghidupkan Malam Lailatul Qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu".

Menurut Imam Fakhrurrazi bahawa Allah menyembunyikan Malam Lailatul Qadar daripada pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian Malam Lailatul Qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu Malam Lailatu Qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap Lailatul Qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan Lailatul Qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui Lailatul Qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai Lailatul Qadar yang bermaksud : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). – Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. – Hadis riwayat Iam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ubadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : "Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)".

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : "Malam Lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk".

Qadhi ‘Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.

Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.


Sumber/petikan : http://epondok.wordpress.com/2009/09/09/tanda-lailatul-qadar/

Tazkirah Ramadhan : Posisi Tidur Menurut Islam dan Sains

Diriwayatkan daripada Barra’ bin ‘Azib r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu. (Hr Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring pada lambung kanan. Adapun tidur dengan cara yang lain adalah seperti berikut:-

Tidur Dengan Meniarap

Dr Zafir al-Attar berkata:

“Seseorang yang tidur meniarap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak.”

Pengkaji dari Australia telah menyatakan bahawa berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah ‘Times’ telah menyatakan bahawa kajian di Britain telah menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.

Tidur meniarap adalah dilarang oleh Islam. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w . Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Tidur Menelentang

Dr Zafir al-Attar berkata:

Tidur menelentang akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan mereganngnya rahang bawah.

Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu2 dan hingus yang menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah yang disediakan untuk memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya menyebabkan radang.

Tidur Mengiring ke Kiri

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru kanan yang mana ia lebih besar dari paru kiri. Ini akan memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih2 lagi kepada orang yang sudah tua. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan di antara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke ke kiri.

Kajian yang telah menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung di antara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara 5 hingga 8 jam bagi proses yang sama.

Tidur Yang Terbaik

Tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru kiri lebih kecil daripada paru kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek di atasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.

Rujukan:

Mausuah al-I’jazil Qurani Fil Ulum wat Tib wal Falak
oleh Dr Nadiah Toyyarah,

Musnad Imam Ahmad
dan kamus.

Sumber/petikan:http://epondok.wordpress.com/2009/09/05/posisi-tidur-menurut-islam-dan-sains/

Khasiat Buah Kurma

Buah kurma atau dalam bahasa Arab menggelarnya tamar tergolong dalam keluarga phoenix. Sekumpulan jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Selain kebiasaan, umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang lain maksudnya: “Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan”. Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap
tubuh sebagai tenaga.

Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan
selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan
ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau
tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan
berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu
banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang
diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta
menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk.

Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat galian dan yang paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf kerana kurma adalah excellant source atau sumber mujarab. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.

Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksid di dalam tubuh
atau memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang
berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot,
sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan
ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan,
sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu
atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan
mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t.
dalam surah al-Mukminah ayat 19, “Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun
kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak,
dan sebahagiaannya kamu makan.”

Diriwayat oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. “Jika
sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang
dimakan.” Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. di bawah
pohon kurma. Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam menggegar pohon
kurma lantas dimakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan kelahiran Nabi
Isa a.s.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam
kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk
seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis
penyakit.

Begitu juga dalam rawatan kaedah sufism, menjadikan kurma salah satu
penawar penyakit.

Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk
menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin.

Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar
selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti
dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma juga
dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja.
Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau menggantikannya
makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan
gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Sumber/petikan:http://epondok.wordpress.com/2009/09/01/khasiat-buah-kurma/

6 Keburukan Kenyang


Abu Sulaiman ad-Darani telah berkata bahawa sesiapa yang kenyang maka masuklah pada dirinya 6 macam bahaya :

1. Kehilangan rasa manisnya bermunajat kepada Allah.

2. Kehalusan memelihara hikmat ( bertindak gopoh-gapah tanpa bijaksana).

3. Terhalang rasa kasih sayang kepada makhluk lain kerana bila kenyang maka lupa pada orang lapar.

4. Berat dan malas untuk berbuat ibadat kepada Allah.

5. Bertambah keinginan nafsu.

6. Orang mukmin sebenar mengelilingi masjid manakala orang kenyang mengelilingi tandas.


sumber/petikan:http://epondok.wordpress.com/


Kelebihan Qiamullail

Daripada Abu Hurairah : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat". – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih.

2. Daripada Abdullah bin Salam katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, jalinkanlah silaturrahim dan bangunlah untuk dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya kamu akan masuk Syurga dengan selamat". – Dikeluarkan oleh Tarmizi, Ahmad, Hakim, Darimi, Ibnu Majah dan Ibnu Saad dengan sanad sohih

3. Daripada Abu Hurairah katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah Muharram dan sembahyang sunat yang paling afdhal selepas solat fardhu ialah solat pada waktu malam". – Dikeluarkan oleh Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasaie, Ibnu Khuzaimah, Ahmad, Darimi, dan Baihaqi dengan sanad sohih

4. Daripada Abdullah ibnu Umar katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Wahai Abdullah ibnu Umar! Janganlah engkau menjadi seperti si Pulan di mana dia bangun pada waktu malam tetapi dia tidak melakukan ibadat qiamullail".– Dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad dengan sanad sohih.


Rujukan :

- Abi Abdullah Muhammad bin Nasir al-Mirwazi, Mukhtasor Qiamullail, diringkaskan oleh Ahmad bin Ali al-Maqrizi, Maktabah al-Manar, cet. pertama 1993.

Sumber/petikan:http://epondok.wordpress.com/

10 Manfaat Lapar

1. Menjernihkan hati, mencerdikkan otak serta menerangi penglihatan hati.

2. Melembutkan hati yang membolehkan ia dapat merasai kelazatan pengaruh zikir kerana apabila perut kosong boleh menghilangkan kekerasan hati yang menyebabkan zikir dilidah terus meresap dihati yang lembut tanpa ada halangan lagi.

3. Merasa kalah dan hina serta menghilangkan perasaan bongkak, terlalu gembira dan kufur nikmat di mana semua sifat tercela ini menjadi penyebab kepada penyimpangan dan kelalaian daripada mensyukuri nikmat Allah.

4. Sentiasa ingat kepada bala Allah di dunia dan siksaanNya di akhirat apabila merasai sendiri bagaimana peritnya lapar.

5. Mematahkan keinginan nafsu serta menguasainya daripada melakukan maksiat kerana bahan yang menguat dan menambah keinginan nafsu kebanyakannya berasal daripada makanan.

6. Mengurangkan tidur dan memudahkan untuk berjaga terutama dalam berbuat ibadat.

7. Memudahkan diri untuk menumpukan perhatian dalam beribadat kerana tidak banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan makanan.

8. Dapat menjaga kesihatan dan selamat daripada pelbagai penyakit yang terbit daripada banyak makan

9. Jimat dalam perbelanjaan harian apabila tidak banyak wang dihabiskan untuk membeli banyak makanan.

10. Membolehkan dia mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri melalui sedangkan kerana orang lapar lebih memahami masalah dan penderitaan orang lain.

Sumber:http://epondok.wordpress.com/2009/08/31/10-manfaat-lapar/

Hikmat Sembunyi 5 Masa

Antara hikmat di mana Allah merahsiakan beberapa urusan agama kerana ada kebaikan dan kepentingan disebaliknya iaitu :

1. Allah menyembunyikan Lailatul Qadar dalam suatu malam daripada Ramadhan supaaya kita sentiasa menghidupkan malam-malam itu dengan amal ibadat tanpa mengkhususkan suatu malam tertentu sahaja.

2. Allah menyembunyikan saat dimakbulkan doa pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa sepanjang harinya.

3. Allah menyembunyikan amalan maksiat yang paling dikutuk atau dibenciNya bagi memastikan kita sentiasa menghindari segala maksiat.

4. Allah menyembunyikan waktu berlakunya qiamat supaya kita sentiasa beringat, berhati-hati dan beriman serta bertaqwa dan beramal soleh sepanjang masa.

5. Allah menyembunyikan ajal manusia iaitu masa mati supaya kita sentiasa beramal ibadat dan mentaati Allah sepanjang waktu.

Sumber:http://epondok.wordpress.com/

Kelebihan Makan Sahur

1. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat.

2. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Hendaklah kamu Bersahur kamu kerana ia adalah makanan yang berkat.

3. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Perbezaan antara puasa kita orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah kita makan sahur.

4. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail – hadis dari Ibnu Abbas

4. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur – hadis dari Ibnu Umar

5. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur

6. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walau pun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur.

sumber: http://epondok.wordpress.com/2009/08/24/kelebihan-makan-sahur/

22 Adab dan Petua Membaca Al-Quran

Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

* Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
* Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
* Membaca dalam keadaan berwuduk.  
* Mengadap ke arah kiblat.
* Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
* Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
* Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.  
* Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
* Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
* Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa atau pun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
* Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
* Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
* Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” – (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
* Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
* Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
* Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
* Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
* Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
* Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
* Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
* Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
* Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.


10 Bahaya Terlalu Kenyang

عن ابن عمر: قال النبي  : المُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِى مَعْىٍ وَاحِدٍ وَالكَافِرُ يَأْكُلُ فِى سَبْعَةِ اَمْعَاءٍ حَسْبَ ابْنَ آدَمَ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ اِنْ كَانَ وَلاَبُدَّ فَحَقُّهُ ثُلُثٌ لِلطَّعَامِ و ثُلُثٌ لِلشَّرَابِ وَ ثُلُثٌ لِلنَّفَسِ-  رواه الشيخان

Maksudnya : Orang yang sempurna iman makan pada satu perut sedangkan orang kafir makan untuk tujuh perut. Memadai bagi anak cucu Adam itu beberapa suap yang dapat membetulkan tulang belakangnya. Jika dia mahu tambah dan tidak dapat tiada daripada menambah maka sepatutnya dia sediakan 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk mengeluarkan nafas.

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin telah menukilkan tentang 10 bahaya terlalu kenyang:

1. Banyak makan menyebabkan hati menjadi keras.

2. Banyak makan membangkitkan segala anggota dalam berbuat perkara yang sia-sia dan kejahatan.

3. Banyak makan membinasakan kecerdikan dan kepintaran serta menyebabkan sedikit faham dan kurang pengetahuan.

4. Banyak makan mengurangkan amal ibadat kerana manusia apabila banyak makan menyebabkan berat badannya yang membawa kepada mengantuk dan malas.

5. Banyak makan menyebabkan kurang selesa ketika menunaikan ibadat.

6. Banyak makan ditakuti jatuh kepada yang haram atau syubhat.

7. Banyak makan menyebabkan hati sentiasa risau berkenaannya, memenatkan badan untuk mencari serta menyediakannya. Begitu juga untuk memakannya dan melepaskan mudharatnya.

 8. Banyak makan menyebabkan bersangatan sakit ketika mati kerana kesakitan dan kesusahan ketika mati bergantung kepada sekadar mana kesedapan dunia yang dinikmati oleh kita.

9. Banyak makan menyebabkan kurang pahala akhirat.

10. Banyak makan menyebabkan banyak hisab di akhirat.

PUASA RAMADHAN: HUKUM DAN BEBERAPA PERMASALAHAN KANAK-KANAK


بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Saw, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada. Lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahala. Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka sendiri.

Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka yang belum baligh berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa. Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini diqiyaskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang. Sebagaimana sabda Rasulullah Saw:

Maksudnya: “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh
tahun…” (Hadits riwayat Abu Daud)

Hukum Kanak-Kanak Berpuasa

Salah satu syarat wajib puasa itu ialah baligh. Kanak-kanak yangsudah mencapai umur baligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan.

Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, tidak diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan qadha. Sabda Rasulullah Saw:

Maksudnya: “Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia
berakal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa mereka itu sah ataupun tidak?

Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:-

(1) Kanak-Kanak Yang Belum Mumayyiz

Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.

(2) Kanak-Kanak Yang Mumayyiz

Kanak-kanak yang mumayyiz ialah kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa kanak-kanak yang mumayyiz apabila ia berniat puasa di malam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa Ramadhan.

Di antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan
adalah seperti berikut :-

(1) Baligh Sebelum Masuk Waktu Puasa

Apabila kanak-kanak mencapai umur baligh sebelum masuk waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai contoh, kanak-kanak itu bermimpi (keluar air mani) di malam
hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.

(2) Baligh Selepas Masuk Waktu Puasa

Kanak-kanak yang mencapai umur baligh selepas masuk waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:-

(i) Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan berpuasa ketika itu.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atasnya qadha.

(ii) Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsak (menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari tersebut. Walau bagaimanapun disunatkan juga ke atasnya imsak pada baki waktu puasa di hari tersebut bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan wajib imsak.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha puasa tersebut.

Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi. Mendidik tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanakkanak berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi menjalani ibadah puasa dengan sesempurnanya.

sumber: http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2008/bil294.pdf

3 TINGKATAN ORANG BERPUASA

Imam al-Ghazali telah menukil di dalam kitabnya " Ihya' Ulumiddin" di mana bagi orang berpuasa ada 3 tingkatannya yang menggambarkan tentang keadaan puasa dan kedudukannya iaitu :

Pertama : Puasa Umum

Ia ditunaikan orang orang awam setakat berpuasa dalam menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi nafsu syahwat sedangkan anggotanya yang lain tidak dikawal sebaiknya daripada melakukan maksiat terhadap Allah

Kedua : Puasa Khusus

Ia ditunaikan dengan turut mengawal pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota lain daripada melakukan maksiat terhadap Allah tetapi hatinya masih belum dapat sepenuhnya daripada niat yang melalaikan diri dalam mengingati Allah.

Ketiga : Puasa Khusus al-Khusus

Ia adalah puasa yang paling sempurna dan mesti diusahakan dalam mencapainya di mana pada tahap ini maka hati turut dikawal daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain Allah secara mutlak. Malah kedudukan puasa pada tahap ini terbatal dengan memikirkan sesuatu perkara selain Allah dan akhirat serta memikirkan urusan dunia yang bukan bertujuan agama. Tahap puasa ini dinikmati oleh para nabi, siddiqin, muqarrabin di mana ia sukar digambarkan melalui perkataan tetapi boleh dilaksanakan dengan amalan.

petikan:http://aki2004.tripod.com/tz8.htm




Keistimewaan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. – Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. – Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Rujukan

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-’Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

petikan :http://epondok.wordpress.com/

19 AKIBAT DOSA

1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram.

(Dikutip dari kitab Al-Fawaid, karya; al-‘Allamah Ibnul Qayy.
petikan: http://nasihah-addin.blogspot.com/