Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

Hikmat Sembunyi 5 Masa

Antara hikmat di mana Allah merahsiakan beberapa urusan agama kerana ada kebaikan dan kepentingan disebaliknya iaitu :

1. Allah menyembunyikan Lailatul Qadar dalam suatu malam daripada Ramadhan supaaya kita sentiasa menghidupkan malam-malam itu dengan amal ibadat tanpa mengkhususkan suatu malam tertentu sahaja.

2. Allah menyembunyikan saat dimakbulkan doa pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa sepanjang harinya.

3. Allah menyembunyikan amalan maksiat yang paling dikutuk atau dibenciNya bagi memastikan kita sentiasa menghindari segala maksiat.

4. Allah menyembunyikan waktu berlakunya qiamat supaya kita sentiasa beringat, berhati-hati dan beriman serta bertaqwa dan beramal soleh sepanjang masa.

5. Allah menyembunyikan ajal manusia iaitu masa mati supaya kita sentiasa beramal ibadat dan mentaati Allah sepanjang waktu.

Sumber:http://epondok.wordpress.com/

Kelebihan Makan Sahur

1. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat.

2. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Hendaklah kamu Bersahur kamu kerana ia adalah makanan yang berkat.

3. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Perbezaan antara puasa kita orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah kita makan sahur.

4. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail – hadis dari Ibnu Abbas

4. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur – hadis dari Ibnu Umar

5. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur

6. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walau pun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur.

sumber: http://epondok.wordpress.com/2009/08/24/kelebihan-makan-sahur/

22 Adab dan Petua Membaca Al-Quran

Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

* Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
* Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
* Membaca dalam keadaan berwuduk.  
* Mengadap ke arah kiblat.
* Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
* Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
* Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.  
* Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
* Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
* Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa atau pun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
* Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
* Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
* Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” – (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
* Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
* Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
* Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
* Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
* Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
* Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
* Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
* Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
* Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.


10 Bahaya Terlalu Kenyang

عن ابن عمر: قال النبي  : المُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِى مَعْىٍ وَاحِدٍ وَالكَافِرُ يَأْكُلُ فِى سَبْعَةِ اَمْعَاءٍ حَسْبَ ابْنَ آدَمَ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ اِنْ كَانَ وَلاَبُدَّ فَحَقُّهُ ثُلُثٌ لِلطَّعَامِ و ثُلُثٌ لِلشَّرَابِ وَ ثُلُثٌ لِلنَّفَسِ-  رواه الشيخان

Maksudnya : Orang yang sempurna iman makan pada satu perut sedangkan orang kafir makan untuk tujuh perut. Memadai bagi anak cucu Adam itu beberapa suap yang dapat membetulkan tulang belakangnya. Jika dia mahu tambah dan tidak dapat tiada daripada menambah maka sepatutnya dia sediakan 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk mengeluarkan nafas.

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin telah menukilkan tentang 10 bahaya terlalu kenyang:

1. Banyak makan menyebabkan hati menjadi keras.

2. Banyak makan membangkitkan segala anggota dalam berbuat perkara yang sia-sia dan kejahatan.

3. Banyak makan membinasakan kecerdikan dan kepintaran serta menyebabkan sedikit faham dan kurang pengetahuan.

4. Banyak makan mengurangkan amal ibadat kerana manusia apabila banyak makan menyebabkan berat badannya yang membawa kepada mengantuk dan malas.

5. Banyak makan menyebabkan kurang selesa ketika menunaikan ibadat.

6. Banyak makan ditakuti jatuh kepada yang haram atau syubhat.

7. Banyak makan menyebabkan hati sentiasa risau berkenaannya, memenatkan badan untuk mencari serta menyediakannya. Begitu juga untuk memakannya dan melepaskan mudharatnya.

 8. Banyak makan menyebabkan bersangatan sakit ketika mati kerana kesakitan dan kesusahan ketika mati bergantung kepada sekadar mana kesedapan dunia yang dinikmati oleh kita.

9. Banyak makan menyebabkan kurang pahala akhirat.

10. Banyak makan menyebabkan banyak hisab di akhirat.

PUASA RAMADHAN: HUKUM DAN BEBERAPA PERMASALAHAN KANAK-KANAK


بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Saw, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada. Lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahala. Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka sendiri.

Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka yang belum baligh berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa. Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini diqiyaskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang. Sebagaimana sabda Rasulullah Saw:

Maksudnya: “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh
tahun…” (Hadits riwayat Abu Daud)

Hukum Kanak-Kanak Berpuasa

Salah satu syarat wajib puasa itu ialah baligh. Kanak-kanak yangsudah mencapai umur baligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan.

Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, tidak diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan qadha. Sabda Rasulullah Saw:

Maksudnya: “Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia
berakal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa mereka itu sah ataupun tidak?

Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:-

(1) Kanak-Kanak Yang Belum Mumayyiz

Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.

(2) Kanak-Kanak Yang Mumayyiz

Kanak-kanak yang mumayyiz ialah kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa kanak-kanak yang mumayyiz apabila ia berniat puasa di malam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa Ramadhan.

Di antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan
adalah seperti berikut :-

(1) Baligh Sebelum Masuk Waktu Puasa

Apabila kanak-kanak mencapai umur baligh sebelum masuk waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai contoh, kanak-kanak itu bermimpi (keluar air mani) di malam
hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.

(2) Baligh Selepas Masuk Waktu Puasa

Kanak-kanak yang mencapai umur baligh selepas masuk waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:-

(i) Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan berpuasa ketika itu.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atasnya qadha.

(ii) Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsak (menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari tersebut. Walau bagaimanapun disunatkan juga ke atasnya imsak pada baki waktu puasa di hari tersebut bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan wajib imsak.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha puasa tersebut.

Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi. Mendidik tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanakkanak berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi menjalani ibadah puasa dengan sesempurnanya.

sumber: http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2008/bil294.pdf

3 TINGKATAN ORANG BERPUASA

Imam al-Ghazali telah menukil di dalam kitabnya " Ihya' Ulumiddin" di mana bagi orang berpuasa ada 3 tingkatannya yang menggambarkan tentang keadaan puasa dan kedudukannya iaitu :

Pertama : Puasa Umum

Ia ditunaikan orang orang awam setakat berpuasa dalam menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi nafsu syahwat sedangkan anggotanya yang lain tidak dikawal sebaiknya daripada melakukan maksiat terhadap Allah

Kedua : Puasa Khusus

Ia ditunaikan dengan turut mengawal pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota lain daripada melakukan maksiat terhadap Allah tetapi hatinya masih belum dapat sepenuhnya daripada niat yang melalaikan diri dalam mengingati Allah.

Ketiga : Puasa Khusus al-Khusus

Ia adalah puasa yang paling sempurna dan mesti diusahakan dalam mencapainya di mana pada tahap ini maka hati turut dikawal daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain Allah secara mutlak. Malah kedudukan puasa pada tahap ini terbatal dengan memikirkan sesuatu perkara selain Allah dan akhirat serta memikirkan urusan dunia yang bukan bertujuan agama. Tahap puasa ini dinikmati oleh para nabi, siddiqin, muqarrabin di mana ia sukar digambarkan melalui perkataan tetapi boleh dilaksanakan dengan amalan.

petikan:http://aki2004.tripod.com/tz8.htm




Keistimewaan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. – Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. – Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Rujukan

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-’Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

petikan :http://epondok.wordpress.com/

19 AKIBAT DOSA

1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram.

(Dikutip dari kitab Al-Fawaid, karya; al-‘Allamah Ibnul Qayy.
petikan: http://nasihah-addin.blogspot.com/

Apakah Kewajipan Kita Terhadap Al-Qur'an?

4 Kewajipan Terhadap Al-Qur'an:

Imam Hasan al-Banna dalam satu taujihatnya kepada ahli-ahli Ikhwan Muslimin berkata; "Hendaklah kamu tunaikan empat kewajipan kamu terhadap al-Qur'an;

1. Meyakini bahawa tidak ada jalan hidup yang selamat melainkan yang diambil daripada al- Qur'an. Sebarang sistem atau peraturan dalam apa bidang sekali pun jika tidak bersandar atau tidak diambil daripada al-Qur'an maka ia pasti akan menemui kegagalan.

2. Menjadikan al-Qur'an sebagai teman hidup iaitu dengan selalu membacanya dan bersungguh-sungguh ketika membacanya. Membaca al-Qur'an hendaklah dijadikan amalan tetap pada setiap hari.

3. Menghormati al-Qur'an iaitu dengan menjaga adab-adab ketika membaca al-Qur'an dan juga ketika mendengar bacaan al-Qur'an.

4. Beramal dengan segala ajaran dan hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Qur'an. Hukum-hakam yang terkandung dalam al-Qur'an terbahagi kepada dua kategori;

a) Hukum-hakam yang berkait dengan setiap individu; iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat, puasa, haji, taubat, istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar, memenuhi janji, amanah) dan sebagainya.

b) Hukum-hakam yang berkait dengan masyarakat atau sosial; iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan hal-hal yang menjadi kewajipan negara seperti menegakkan undang-undang jenayah Islam (hudud), jihad dan sebagainya. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya. Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.

(Hassan al Banna, Hadis as-Thulasa’, hlm. 14-17)

petikan:http://nasihah-addin.blogspot.com/

11 Golongan Manusia Yang Didoa Malaikat

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia."

3. Orang yang berada di saff depan solat berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saff depan.”

4. Orang yang menyambung saff pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saff). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saff.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”

10. Orang yang sedang makan sahur.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”
Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita juga termasuk dalam golongan mereka yang yang didoakan oleh para malaikat.

petikan: http://epondok.wordpress.com

Rahsia Solat Di Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Pada Waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya atau pun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. 

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. 

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor 
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar 
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. 

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak 
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. 

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Muhasabah Menuju Ramadhan

CUMA 2 TAHUN SOLAT

1 hari=24jam

Satu TAHUN ?
12 Bulan
52 Minggu
365 Hari
8760 Jam
525600 Minit
31536000 Detik


Kebanyakan manusia meninggal dunia antara usia 60 tahun-70 tahun (majoriti) Puratanya manusia meninggal -+65 tahun

“Baligh: Bermulanya diperhitungkan amal seseorang samada baik atau buruknya selama hidup di dunia”
Laki-laki Baligh : -+ 15 tahun
Wanita Baligh : -+ 12 tahun

Usia yang ada untuk kita beribadah kepada Allah Swt, puratanya:

Mati – Baligh = Baki Usia, :~ 65 - 15 = 50 tahun

50 tahun digunakan untuk apa?

Catatan:

50 tahun= 18250 hari= 458000 jam


Gambaran Kasarnya:

Mari kita muhasabah bersama……

Waktu kita tidur -+8 jam/hari:

Dalam 50 tahun waktu yang habis digunakan untuk tidur sahaja 18250 hari x 8 jam= 146000 jam= 16 tahun 7 bulan, dibundarkan jadi 17 tahun.

Logiknya: Alangkah sayangnya waktu 17 tahun habis digunakan untuk tidur, padahal kita akan 'ditidurkan' untuk tempoh yang agak lama sebelum menemui Allah Swt.


Waktu aktiviti kita di siang hari -+ 12 jam;

Dalam 50 tahun waktu yang habis dipakai untuk aktiviti:

18250 hari x 12 jam= 219000 jam = 25 tahun

Aktiviti di siang hari: Ada yang bekerja, ada yang belajar atau mengajar, ada yang sekolah atau kuliah, ada yang makan sambil jalan-jalan, tengok movie, chatting dan banyak lagi.

Waktu rehat -+4 jam;

Dalam 50 tahun waktu yang dipakai untuk rehat 18250 hari x 4 jam= 73000 jam = 8 tahun

Rehat: menonton tv, atau mungkin dihabiskan termenung dibuai khayalan……

17 tahun + 25 tahun + 8 tahun = 50 tahun

Lalu Bila Nak Beribadah???

Padahal Allah ada berfirman yang bermaksud;

“Tidak KUciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU”.

Kita tidak menafikan, memang benar..Menuntut ilmu itu ibadah, kalau niatnya semata-mata lilLah, tetapi KEBANYAKANNYA BELAJAR AGAR MUDAH MENCARI PEKERJAAN. SEKIRANYA BELAJAR ITU TIDAK MEMBANTU MENAMBAH PENDAPATAN KITA, KITA TIDAK AKAN BELAJAR…(Tidak Semua)

Kita juga tidak menafikan, memang benar!!! Bekerja cari nafkah itu ibadah, tapi bekerja yang bagaimana? Ramai orang bekerja untuk hidup bermewah-mewahan dan amat kurang sedekahnya.

“ Jarang ada yang menolak untuk dipuji dan dipuja tatkala berjaya “

Bila Nak Beribadah???

Ermm..mungkin solat 5 waktu itu dianggap sudah mencukupi…!
Karena kita fikir, solat wajib besar pahalanya, solat amalan pertama yang dihisab, solat jalan untuk membuka pintu syurga…
Benarkah solat kita itu mencukupi dan diterima !!?

Berapa banyak solat kita dalam 50 tahun???

1 Waktu Solat = -+ 10 minit ….. 5x solat = -+ 1 jam(-+solat sunat)

Dalam masa 50 tahun waktu yang terpakai untuk solat = 18250 hari x 1 jam =18250 jam= 2 tahun

Kesimpulan:

Waktu yang kita manfaatkan dalam 50 tahun di dunia cuma 2 tahun untuk solat ( ini kalau yg solat 10 minit! Kalau solat macam ayam patuk tanah..??? ) 2 tahun dari 50 tahun kesempatan kita….itupun belum tentu solat kita bermakna berpahala dan diterima.

Dan sekiranya pahala solat kita selama 2 tahun tidak sebanding dengan perbuatan dosa-dosa kita selama 50 tahun, dalam percakapan kita yang selalu dusta, baik yang sengaja ataupun tidak, dalam pertuturan kita yang sering menggores perasaan/hati orang tua kita, dalam harta kekayaan kita yang selalu kedekut terhadap orang faqir, dalam setiap perbuatan kita yang selalu bergelumang dosa.

Logiknya:

Bukan satu perkara yang mustahil buat kita umat akhir zaman akan berhamburan di neraka untuk mendapatkan balasan kelalaian.

Terlalu banyak masa yang terbuang percuma selama manusia hidup di dunia dan semuanya itu akan menjadi bencana.

Penyelesaian:

Tiada kata terlambat walaupun waktu berlalu cepat, isilah ia dengan sesuatu yang bermanfaat!!
Ingatlah negeri kita…Akhirat

" Setiap Anak Adam akan melakukan kesilapan(dosa), dan sebaik-baik mereka yang berdosa adalah mereka yang bertaubat"..
" Sesungguhnya dunia itu diciptakan untuk kamu, dan kamu diciptakan untuk Akhirat"..