Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

KAHWIN MUDA MENURUT SYARAK



Akhir 2012 baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes perkahwinan awal gadis yang baru berusia 13 tahun dan pasangannya pemuda berusia 17 tahun di Malaysia. Perkahwinan mereka telah menjadi bahan bualan masyarakat. Apakah pandangan masyarakat kini terhadap perkahwinan ini? Perlukah ia dilihat daripada aspek adat tradisi, kesihatan atau dari sudut pandangan agama. Maka sebaiknya kita amati satu persatu dalam usaha menyampaikan maklumat yang sebenar kepada masyarakat kita.

Aspek Sejarah

Dalam sejarah Islam kita boleh lihat bagaimana Baginda Rasulullah sendiri berkahwin dengan Saidatuna 'Aisyah iaitu puteri Abu Bakar Al-Siddiq dalam usia yang begitu muda. 'Aisyah dilamar dalam usia 7 tahun dan mula bersama pada usia 9 tahun iaitu umur selepas mencapai usia baligh bagi kanak-kanak perempuan. 

Perkara ini menjadi bahan cemuhan oleh sejarawan Barat terutamanya golongan sarjana orientalis. Mereka melihat hal ini sebagai faktor kecaman dari pelbagai sudut dan andaian. Sedangkan kalau diperhatikan dalam Undang-undang Perkahwinan negara Barat seperti Perancis memperuntukkan usia perkahwinan bagi pemudanya seawal usia 18 tahun dan gadis pula berusia 15 tahun. Begitu juga Undang-undang Perkahwinan dalam Perundangan Agama Yahudi menetapkan pemuda boleh berkahwin seawal usia 13 tahun dan gadis pula berumur 12 tahun.

Cuma perubahan ini semakin ketara di dalam era moden mutakhir ini. Akibat terdapat beberapa faktor terutamanya faktor ekonomi yang membawa pada perubahan sosial sesebuah masyarakat itu ia menyebabkan proses perkahwinan ini menjadi semakin lambat.

Pasangan yang ingin berkahwin perlu menyediakan pelbagai perkara asas dan melaksanakan beberapa syarat sebelum mendirikan rumah tangga. Maka, tidak hairanlah dalam Islam ia tidak memberikan had dan batasan pada usia mereka yang ingin berkahwin. Malahan bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya, ia amat dialu-alukan.

Mereka Yang Menolak Berkahwin Awal

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir masyarakat tidak menerima rasional perkahwinan awal bagi para remaja kerana mereka memberikan pelbagai alasan yang difikirkan wajar bagi mereka. Bahkan ada yang menganggapkan perkahwinan awal ini akan menjejaskan ekonomi, sosial dan juga kesihatan kepada pasangan remaja tersebut. Malahan ia juga menyumbangkan kepada peningkatan kadar perceraian di negara ini serta jumlah ibu tunggai dan kanak-kanak yang terbiar yang mengundang kepada gejala keruntuhan moral dalam masyarakat. Cuba ditelitikan hujah mereka satu persatu menerusi aspek berikut.

Faktor Kesihatan

Kata mereka, remaja yang berkahwin awal akan hamil pada usia muda dan berdepan banyak komplikasi serta masalah kesihatan sepanjang kehamilan, ketika melahirkan anak dan selepasnya. Ini sebabnya kehamilan di kalangan remaja dianggap kehamilan berisiko tinggi. Malahan kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat di kalangan remaja. Ia bukan disebabkan komplikasi ketika proses kehamilan dan kelahiran saja, faktor persekitaran juga menyukarkan mereka mendapatkan kemudahan dan penjagaan kesihatan secukupnya. Kebanyakan remaja tidak mendapat nasihat tepat mengenai kaedah pencegahan kehamilan dan perancangan keluarga serta sukar membeli ubat diperlukan untuk pencegahan kehamilan. Bahkan, masih ada yang percaya pada adat turun-temurun untuk mengelak kehamilan.

Ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan dan antara komplikasi yang berkait rapat dengan kehamilan pada usia remaja ialah seperti tekanan darah tinggi ketika mengandung, kelahiran pramatang, berat badan yang kurang dan tidak cukup zat, pucat akibat pemakanan tidak teratur atau tidak cukup, tidak mendapat pemeriksaan antenatal sewajarnya, kematian ibu dan bayi semasa proses kelahiran dan kehamilan yang terlalu kerap.

Faktor Pendidikan

Antara faktor lain yang menolak perkahwinan bawah umur juga adalah berpaksikan pada faktor pendidikan. Pengetahuan dan pendidikan yang tidak mencukupi boleh memberi kesan kepada kesihatan mental, emosi, sosial dan kerohanian remaja. Sehingga kini dianggarkan lebih kurang 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di negara ini mendirikan rumah tangga dan kajian menunjukkan remaja yang berkahwin sebelum umur 18 tahun kehilangan empat tahun persekolahan berbanding mereka yang berkahwin lebih lewat.

Pendidikan dan alam persekolahan bukan sekadar tempat menimba ilmu pelajaran kerana di situlah berlakunya perkembangan personaliti, persediaan melangkah ke alam dewasa yang secara tidak langsung menyumbang kepada keharmonian keluarga dan masyarakat serta kemampuan menjana ekonomi keluarga pada masa akan datang. Bahkan, anak-anak yang dilahirkan daripada ibu yang kurang berilmu juga dikatakan mempunyai kecenderungan mengulangi corak hidup sama seperti ibu mereka.

Faktor Mental

Berdasarkan kajian terhadap kewarasan otak yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Mental Kebangsaan pada tahun 2000 menyatakan bahawa perkembangan mental berasaskan kewarasan alasan, pemikiran logikal, penyelesaian masalah, membuat keputusan dan kawalan emosi belum berkembang sepenuhnya hinggalah mereka berumur 20 tahun. Gejala yang boleh berlaku pada diri mereka yang di bawah umur ini antaranya ialah tekanan mental kerana terpaksa berdepan realiti kehidupan dengan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri atau ibu bapa, bahkan mereka memerlukan kemahiran membuat keputusan, penyelesaian masalah yang berkesan, pengurusan kewangan dan emosi serta keupayaan berkomunikasi dengan baik.

Selain itu, risiko anak terabai kerana bermasalah dalam penjagaan anak terutama jika pasangan remaja ini perlu bekerja untuk menyara kehidupan. Oleh kerana tidak mempunyai kelulusan pelajaran, peluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik juga terbatas, seterusnya menjejaskan kewangan isi rumah. Bagi mengatasi masalah ini, ramai akan bekerja lebih masa. Kesannya, anak pasangan remaja berisiko mengalami pengabaian, keciciran dan kekurangan zat pemakanan.

Faktor Sosial

Akibat tekanan dalam mendirikan rumah tangga yang kurang matang serta kehidupan yang kian mendesak, pasangan remaja ini berkemungkinan kerap bertengkar dan kemungkinan membawa kepada perceraian. Kesukaran hidup antara faktor utama yang membuat ramai di kalangan mereka merasa tertekan.

Kekasaran dan keganasan dilaporkan sering berlaku apabila pasangan muda tertekan dan bertengkar. Jika ia kerap berlaku, perkahwinan mungkin tidak dapat bertahan lama. Malahan isu seperti penderaan isteri dan anak akan terus berlaku. Isu penganiayaan juga akan terjadi, ini bukan sahaja fokus kepada penderaan, tetapi ia termasuk isteri diabaikan dan ditinggalkan sendirian selepas bersalin, bayi tidak dibawa ke klinik untuk suntikan imunisasi. Ada juga kes suami menjual bayi yang baru dilahirkan untuk mendapat wang.

Faktor Penggalak Kahwin Muda

Segala faktor di atas memberikan sedikit sebanyak kepada kita bukti bahawa keburukan berkahwin di usia remaja. Namun daripada aspek larangan itu, kita perlu lihat pada aspek negatif yang berlaku jika para remaja ini dihalang untuk berkahwin. Mungkin anak lelaki kita begitu tertib di hadapan kita, usahanya untuk berkahwin awal dihalang kerana faktor pendidikan dan pekerjaan yang belum lagi dicapai. Malangnya tidak lama kemudian kita mendapat berita yang begitu menggemparkan iaitu dia dituduh 'menghamilkan' kekasihnya atas dasar suka sama suka. Pada kala itu, apakah tindakan kita?

Maqasid Perkahwinan

Persoalannya, apakah cara terbaik bagi para remaja ini terhindar dari pelbagai gejala yang merosakkan masyarakat dan menjatuhkan nilai moral mereka dalam usia yang terlalu awal? Berbalik kepada aspek agama yang kita anuti ini. Antara maqasid syarak yang sememangnya menggalakkan perkahwinan ini adalah seperti berikut :

  • Menghindari maksiat dengan cara yang halal untuk menyalurkan nafsu seks melalui pernikahan yang sah. Manakala perzinaan, sumbang mahram, liwat, lesbian, kes kahwin lari, pembuangan bayi, pelacuran dan sebagainya dapat dielakkan.
  • Perkahwinan juga dapat memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman. Bila berkahwin seseorang itu menjadi semakin bertanggungjawab dan lebih amanah dalam memberikan nafkah kepada keluarganya. Jika hubungan yang dilaksanakan tanpa berkahwin, mereka tidak cuba bertanggungjawab terhadap anak yang dilahirkan itu. Akibat kecewa dan putus asa inilah yang membuatkan si ibu tadi sanggup membunuh bayi sendiri kerana rasa malu untuk menghadapi masyarakat sekeliling.
  • Perkahwinan berupaya memelihara kesucian diri dan kehormatan keluarga serta masyarakat.
  • Melaksanakan tuntutan syariat kerana perkahwinan ini adalah amalan sunnah.
  • Perkahwinan dapat menjadikan seseorang itu lebih matang dalam segenap hal.
  • Perkahwinan yang sah dapat menjaga nasab keturunan. Akibat malu, kadangkala seseorang itu sanggup membunuh bayi yang dilahirkannya secara tidak sah. Namun, perbuatan membunuh bayi adalah lebih zalim dari hilangnya kehormatan dan nasab. Oleh itu, maqasid syarak menekankan bahawa memelihara nyawa adalah lebih utama dari memelihara nasab mengikut peringkatnya.
  • Dapat melaksanakan pelan jangka panjang bagi mereka yang berkahwin awal. Ini disebabkan belum sampai waktu persaraan tanggungjawab untuk anak-anak sudah selesai kerana mereka semua sudah membesar.

Oleh yang demikian, ibu bapa dan masyarakat Islam harus mengambil peranan ini dalam menjaga dan memberikan nasihat rumah tangga kepada pasangan yang masih muda ini. Manusia tidak akan terlepas dari segala kesilapan dan kepincangan sekiranya kehidupan mereka tidak diatur dan disusun dengan baik. Tujuan perkahwinan adalah untuk menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindah kehidupan.

sumber: www.tarbawi.my

2 ulasan:

Terima kasih berkongsi artikel ini. :D

Perkongsian: Lelaki Kahwin Muda

 

Sooo, mana point tentang kahwin muda itu syarak? sebab daripad apa yang saya baca, artikel anda menjurus kepada pandangan golongan yang menolak kahwin muda dan tidak fokus tentang syarak kahwin muda.

 

Post a Comment