Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

PENILAIAN SEMULA MALAM NISFU SYA’BAN



1. Bulan Sya’ban merupakan bulan kelapan dalam kalendar Islam Hijriah, iaitu sebelum bulan Ramadhan. Kita sepatutnya sudah mula bersedia untuk Ramadhan yang akan menjelang tidak berapa lama lagi. Inilah kelebihan Sya’ban yang kedudukannya sebelum bulan Ramadhan,
kerana Ramadhan mempunyai kelebihan yang tersendiri berdasarkan hadith-hadith nabi SAW. Selain itu, Sya’ban juga mempunyai kelebihan kerana amalan manusia diangkat pada bulan ini.

2. Nabi SAW sendiri diriwayatkan memperbanyakkan ibadah puasa
pada bulan ini berbanding bulan-bulan yang lain. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa:

Tiada nabi SAW berpuasa dalam mana-mana bulan lebih banyak daripada Sya’ban, sesungguhnya dia (nabi SAW) berpuasa Sya’ban semuanya. (Riwayat al-Bukhari)

3. Terdapat juga beberapa hadith yang menyebut tentang fadhilat malam nisfu Sya’ban, iaitu tentang pengampunan Allah Azza wa Jalla untuk hambaNya. Walaupun wujud pertikaian para ulama’ tentang sanadnya, namun ia hanya menunjukkan pengampunan Allah Azza wa Jalla kepada hambaNya dan bukannya pengkhususan ibadah pada malam tersebut. Antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bahawa nabi SAW bersabda maksudnya:

Allah Azza wa Jalla muncul meninjau makhlukNya pada malam nisfu Sya’ban,mengampunkan dosa hamba-hambaNya melainkan dua golongan iaitu; yang bergaduh dan pembunuh. (Riwayat Ahmad)

4. Adapun selain daripada itu, maka Sya’ban sama seperti bulan-bulan yang lain yang diciptakan oleh Allah Azza wa Jalla. Menetapkan dan mengkhususkan amalan-amalan tertentu pada bulan ini atau pada nisfu Sya’ban yang tiada sandaran daripada al-Qur’an dan al-Hadith perlu dielakkan. Ini kerana ibadah kepada Allah SWT berdiri di atas dalil dan perintah sama ada daripada Allah SWT atau RasulNya SAW.

5. Terdapat sebahagian umat Islam yang merayakan malam nisfu Sya’ban dengan mengkhususkan bacaan surah Yaasin sebanyak tiga kali, qiamullail dengan solat sunat seratus rakaat, dan sebagainya. Membaca Yasin dan qiamullail tidak salah, tetapi mengkhususkannya pada malam nisfu Sya’ban itu yang tidak tepat. Ibn Rejab al-Hanbali (795h) berkata:

Dan malam nisfu Sya’ban, para tabi’ien daripada ahli Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain membesarkannya (nisfu Sya’ban) dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah, manusia mengikut mereka… dan kebanyakan para ulama’ al-Hijaz mengingkarinya seperti ‘Ato’, Ibn Abi Malikah, dan Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam menakalkan daripada Fuqaha’ ahli Madinah, dan ia adalah pendapat Ashab Malik dan selainnya, kata mereka: Semua itu adalah bid’ah. (Ibn Rejab, Lata’if al-Ma’arif fima Limawasim al-‘Aam min al-Wazo’if)

6. Jelas, ia tidak dilakukan oleh nabi SAW atau para sahabat RA. Imam al-Syaukani (1255H) pula menyatakan:

Hadith yang menyebut: Wahai Ali, barangsiapa solat seratus rakaat malam nisfu Sya’ban, dibaca pada setiap rakaat al-Fatihah dan Qul huwa Allah ahad sepuluh kali, maka Allah akan tunaikan segala hajatnya… ia adalah palsu. (Al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah)

7. Manakala Imam al-Nawawi (676H) pula menyebut tentang perkara ini bahawa:

Amalan solat yang dikenali sebagai solat al-Ragha’ib, iaitu dua belas rakaat di antara Maghrib dan Isya’ pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, dan solat malam nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat, kedua-duanya adalah bid’ah yang munkar. (Al-Nawawi, al-Majm
u’ Syarh al-Muhazzab)

8. Perlu ditekankan di sini bahawa semua yang dinyatakan di atas ialah jika menetapkan dan mengkhususkan amalan tertentu seperti solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban. Ia boleh menjerumuskan kepada maksud hadith nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Barangsiapa yang mengadakan dalam urusan (agama) kami ini sesuatu yang bukan daripadanya maka ia ditolak. (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Janganlah kamu khususkan malam Jumaat dengan qiam (bangun malam) berbanding malam-malam yang lain, dan janganlah kamu khususkan harinya dengan puasa berbanding hari-hari yang lain, melainkan pada puasa yang seseorang daripada kamu berpuasa padanya. (Riwayat Muslim)

9. Kalaulah dibolehkan kepada kita untuk mengkhususkan salah satu malam dengan ibadah, maka malam yang paling layak adalah malam Jumaat berbanding malam-malam yang lain. Kerana siang hari Jumaat adalah sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya sebagaimana disebut dalam hadith. Apabila nabi SAW melarang kita mengkhususkan malam Jumaat ini dengan qiamullail berbanding malam-malam lain, maka ini menunjukkan bahawa, lebih utama kita tidak boleh mengkhususkan selain malam Jumaat termasuk malam nisfu Sya’ban dengan sebarang ibadah melainkan jika terdapat dalil yang soheh.

10. Ini berbeza dengan malam-malam dalam bulan Ramadhan dan lailatu al-qadr, yang disyari’atkan padanya qiamullail dan dituntut supaya memperbanyakkan ibadah di dalamnya. Kerana nabi SAW sendiri melakukannya dan menyuruh umatnya juga. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Barangsiapa yang bangun (qiam) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang silam. (Riwayat al-Bukhari)

11. Jadi, mengkhususkan ibadah pada malam nisfu Sya’ban, atau malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam Isra’ dan Mi’raj sekalipun, perlu dielakkan bahkan ditinggalkan kerana tiada dalil yang mengkhususkannya.

12. Ini bukan bermakna tidak boleh qiamullail langsung atau membaca al-Qur’an pada malam nisfu Sya’ban, bahkan lakukanlah dengan ikhlas, tetapi lakukanlah juga pada malam-malam yang lain dan juga selain bulan Sya’ban. Mengkhususkan ibadah pada malam nisfu Sya’ban sahaja berbanding malam-malam yang lain itulah pokok perbincangan kita sekarang. Ini kerana perbuatan Allah SWT meninjau hamba-hambanya dan mengampunkan dosa mereka juga berlaku pada setiap malam bukan hanya malam nisfu Sya’ban. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:

Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berlalu satu pertiga malam yang pertama, lalu berfirman: Aku adalah raja, Aku adalah raja, sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta kepadaKu, akan Aku berikan, sesiapa yang meminta keampunanKu, akan Aku ampunkan, dan ia akan berterusan sehinggalah terbit fajar. (Riwayat Muslim)

13. Kesimpulannya, untuk menjamin ibadah kita diterima oleh Allah SWT, ia mestilah bertepatan dengan syara’. Semoga penilaian semula amalan kita pada malam nisfu Sya’ban membawa kepada ketepatan tersebut.









0 ulasan:

Post a Comment