Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

Antara Istikharah, Mimpi dan Gerak Hati

Kes 1

Seorang lelaki telah melakukan istikharah setelah dia minat kepada seorang perempuan, Tiga hari selepas istikharah, dia bermimpi melihat wanita itu, tersenyum simpul ke arahnya. Bila diceritakan mimpi itu pada keluarganya, ada yang menganggap bahawa itu bukan hasil istikharahnya, tapi disebabkan dia terlalu berkenan kepada wanita tadi hingga terbawa dalam mimpi

Kes 2

Seorang lelaki yang tidak pernah melihat wanita yang ingin dipadankan untuknya juga tidak pernah berkenalan dengannya kemudian dia istikharah. Selang beberapa hari, dia berasa hambar dengan wanita tersebut . Bila dinyatakan kepada ahli keluarga, ada yang menyatakan bahawa istikharah kurang tepat sebab belum kenal sedikit pun wanita tadi, dah buat istikharah

Kes 3

Seorang lelaki selalu berdoa apa sahaja dalam urusan hidupnya, semoga Allah memberi ilham kepadanya dan menjaganya dari kesilapan besar yang boleh menjatuhkan maruahnya, oleh itu dia akan buat apa sahaja keputusan atau tindakan berdasarkan gerak hati. Jika hatinya tenang terhadap sesuatu perkara maka itulah yang akan dilakukannya



‏Masalah Istikharah

1. Hadis-hadis berkenaan Istikharah


عن ‏ ‏جابر بن عبد الله ‏ ‏قال ‏
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يعلمنا ‏ ‏ الاستخارة كما يعلمنا السورة من القرآن يقول ‏ ‏إذا هم أحدكم بالأمر فليركع ركعتين من غير الفريضة ثم ليقل اللهم إني أستخيرك بعلمك وأستقدرك بقدرتك وأسألك من فضلك العظيم فإنك تقدر ولا أقدر وتعلم ولا أعلم وأنت علام الغيوب اللهم إن كنت تعلم هذا الأمر ‏ ‏فيسميه ما كان من شيء خيرا لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري أو خيرا لي في عاجل أمري وآجله فاقدره لي ويسره لي وبارك لي فيه وإن كنت تعلم يقول مثل ما قال في المرة الأولى وإن كان شرا لي فاصرفه عني واصرفني عنه واقدر لي الخير حيثما كان ثم رضني به ‏

Maksudnya : Dari jabir Bin Abdullah ra katanya: Adalah nabi saw mengajar kami untuk beristikharah dalm semua perkara sebagaimana baginda mengajar kami surah yang ada dalam Al Quran, baginda bersabda : Apabila salah seorang dari kamu berhasrat untuk melkukan sesuatu perkara mak hendaklah dia solat dua rakaat yang bukan fardhu seraya berdoa (selepas salam):

ليقل اللهم إني أستخيرك بعلمك وأستقدرك بقدرتك وأسألك من فضلك العظيم فإنك تقدر ولا أقدر وتعلم ولا أعلم وأنت علام الغيوب اللهم إن كنت تعلم هذا الأمر ‏ ‏فيسميه ما كان من شيء خيرا لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري أو خيرا لي في عاجل أمري وآجله فاقدره لي ويسره لي وبارك لي فيه وإن كنت تعلم يقول مثل ما قال في المرة الأولى وإن كان شرا لي فاصرفه عني واصرفني عنه واقدر لي الخير حيثما كان ثم رضني به ‏


‏ ‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي بكر الصديق ‏
أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏كان إذا أراد أمرا قال ‏ ‏اللهم ‏ ‏ خر لي ‏ ‏ واختر لي ‏

Maksudnya : Dari Aisyah ra meriwayatkan dari Abu Bakr assiddiq bahawa nabi saw apabila hendak melakukan sesuatu perkara, baginda berdoa : Ya Allah berilah kebaikan padaku dan pilihlah untuk ku



عن ‏ ‏جابر ‏ ‏قال ‏
قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إذا استشار أحدكم أخاه فليشر عليه ‏

Maksudnya: Dari Jabir ra katanya Nabi SAW bersabda : Apabila salah seorang dari kamu meminta nasihat dari salah seorang saudaranya hendaklah (saudara tadi) memberi nasihat (pandangan)



2. Beberapa Salah Faham Dalam Konsep Istikharah

Pertama:

Kebanyakan kita beranggapan bahawa solat Istikharah hanya dilakukan tatkala teragak-agak dalam memilih antara dua perkara. Sebenarnya ini kurang tepat kerana nabi Saw menyatakan dalam hadis:


: (( إذا همّ أحدكم بالأمر((.

Perkataan yang Nabi saw yang digunakan ialah " هم" yang bermaksud hasrat, dan bukannya " تردد" ( teragak-agak). Perkataan " همّ" adalah tahap sebelum " عزم"(keinginan kuat)

Apabila mana-mana individu yang ingin melakukan sesuatu pekerjaan, yang mana dia tiada pilihan lain, ini bermakna dia telah berhasrat (همّ) untuk melakukan perkara tersebut, dengan itu bolehlah dia beristikharah kemudian laksanakanlah perkara tadi. Begitulah sebaliknya, jika dia ingin meninggalkan sesuatu perkara yang tiada pilihan untuknya, maka beristikharahlah dahulu kemudian tinggalkan perkara tersebut

Walau bagaimanapun jika individu mempunyai pelbagai pilihan yang dia tidak mampu membuat keputusan, terlebih dahulu dia meminta pandangan yang layak memberi nasihat, kemudian pilihlah salah satu perkara tersebut dan berisitikharah pada satu pilihan tadi.

Kedua :

Ramai antara kita beranggapan bahawa istikhara hanya dilakukan pada perkara tertentu sahaj contohnya dalam bab nikah kahwin, musafir atau perkara yang 'grand', sedangkan dalam Islam, Istikharah ini dilakukan pada semua perkara, kecil atau besar. Berdasarkan sabda Nabi SAW :


(( كان يعلّمنا الاستخارة في الأمور كلّها((

Maksudnya : adalah dia (Nabi saw) mengajar kami beristikharah dalam semua perkara ( riwayat Tirmizi)


Ketiga :

Ramai beranggapan bahawa solat istikharah perlu dilakukan dua rakaat secara khusus.Ini juga kurang tepat kerana bersumberkan hadis Nabi saw :


(( فليركع ركعتين من غير الفريضة.((

Maksudnya : maka hendaklah dia tunaikan dua rakaat yang bukan fardhu

Penggunaan perkataan "من غير الفريضة"( yang bukan fardhu) mengambarkan makna umum merangkumi semua solat sunat hatta solat tahiyat masjid. Ini bermakna, jika sesorang melakukan solat sunat tahiyat masjid misalnya, selepas salam dia berdoa dengan doa istikharah yang diajar nabi SAW, maka dia telah dianggap beristikharah kepada Allah


Keempat :

Ada yang beranggapan bahawa, perlu ada ketenangan terhadap sesuatu perkara setelah beristikharah, bagi membolehkannya melakukan perkara tersebut. Ini juga kurang tepat kerana makna asal istikharah ialah pohon kebaikan dari Allah. Ia juga merupakan salah satu konsep tawakal kepadaNYA sekalipun seseorang itu rasa kurang suka terhadap perkara yang hendak dilakukan

Sila perhatikan kepada firmanAllah SWT:

((
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ)) (البقرة:216)

Maksudnya: dan boleh jadi kamu tidak suka sesuatu perakara sedangkan ia baik bagimu dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu perkara sedangkan ia tidakelok untuk kamu, dan Allah tahu sedangkan kamu tidak mengetahuinya

Salah tanggapan inilah yang menyebabkan ramai mereka di luar sana berkali-kali melakukan istikharah, namun masih teragak-agak untuk membuat keputusan kerana katanya belum tenang hati terhadap perkara tersebut

Kemungkinan ada dikalangan kita yang dapat punyai naluri membuat keputusan, ada yang tidak, oleh itu lakukanlah salah satu perkara, walau pun tidak ada gerak hati terhadap mana-mana perkara kerana sebenarnya Allah akan mudahkan apa sahaja pilihannya


Kelima :

Ada yang beranggapan bahawa perlunya ada mimpi setelah melakukan istikharah, lalu banyak kerja yang tertangguh dek menanti mimpi (atau ilham menurut pandangannya). Apa yang perlu dilakukan olehnya ialah lakukan perkara yang perlu disegerakan setelah beristikharah. Sekiranya dia diberi mimpi baik, itulah "nur" yang dilimpahkan oleh Allah SWT terhadapnya,jika tiada mimpi maka tidak sepatutnya dia menanti sekian lama mimpi itu datang

Inilah beberapa salah faham yang perlu kita perbetulkan atau memberi kesedaran kepada yang masih lagi kurang jelas dalam permasalahan ini . semoga ada kebaikan hasil dari tulisan ini.

Petikan:http://salmanku.blogspot.com/2009/11/antara-istikharah-mimpi-dan-gerak-hati.html

TERKINI: TEMPAHAN KORBAN EIDIL ADHA 1430 H


KELUARGA PELAJAR KELANTAN MESIR(KPKM)
http://ekpkm65.blogspot.com



DEWAN PERWAKILAN MAHASISWA (MAQAZ) SHOUBRA
http://www.mymaqaz92.blogspot.com

Puasa 6 Syawal Sekali Dengan Qadha’

Bagi sesetengah orang, Syawal dianggap bulan berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal masih terdapat ibadat puasa iaitu ‘puasa enam’. Cuma ia tidaklah menjadi suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan.
Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh terdahulu.

Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya. “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi s.a.w itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu disusuli amalan sunat.

Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `seyang tiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih).”

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Sumber/petikan: http://epondok.wordpress.com/

Perutusan Hari Raya Daripada Abah

Assalamualaikum wm wb,

Segala puja & puji tertentu hanya layak dihadapkan ke-hadrat AlLah, Rabb semua Alam. Selawat dan salam hanya layak untuk para anbiya, hamba AlLah yang paling setia taatnya, tidak berbelah & berbahagi, semata-mata hidup & matinya untuk mengabdikan diri buat IlLahi. Salam & deretan doa buat mereka yang sudi mengikuti jejak nabi, dulu, kini, dan selamanya

Anakanda yang jauh,

Eidil Fitri, kedatangannya pada tahun ini tentunya menawarkan satu pengalaman yang berbeza buat diri kita sekeluarga. Anakanda berada di perantauan, jauh pada pandangan mata tapi jauhnya jarak geografi tidak akan berdaya memadamkan keberadaan anakanda dalam hati, ayahanda dan bonda serta adik-adik di bumi malaysia ini. Ya, satu kenyataan yang tidak sesiapa mampu menafikan, di mana pun kita menyambut eidil fitri, situasi dan kondisinya sama sahaja, kerana kita bertakbir dan bertasbih menggunakan lafaz yang sama, memuja dan memuji AlLah yang sama, mengadap AlLah yang sama, sujud merapatkan dahi dengan penh rasa hina diri, menyatakan belitan masalah yang membelenggu diri kepada AlLah yang sama, AlLahu Akbar WallilLahi hamd.

Anakanda yang hebat,

Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain telah mengundangkan rasa hebat apabila kita membaca dan mengikuti sari perjalanan hidup mereka. Rasanya tak tertanding oleh kita kehebatan yang AlLah, telah berikan kepada mereka. Namun, cuba kita fikiri sejenak dengan mata hati dan mata akal yang terbuka waras, adakah kehebatan yang AlLah kurniakan kepada mereka itu, tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka? Adakah mereka hanya tidur bangun, tidur bangun, tidur bangun, akhirnya mereka jadi hebat? Atau di sana ada usaha yang tidak terjumlah yang mereka usahakan, atau di sana ada kegigihan yang tidak bertepi yang mereka lalui, atau di sana ada ketekunan yang meninggi yang mereka lalui, jawaplah dengan hati yang mengerti. Adakah kalau sekiranya kita juga cuba buat seperti mereka(Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain) pada hari ini, AlLah itu maha luas kurniaannya. Ilmu-Nya tidak akan terjejas sedikitpun jika sedikit ilmu yang DIA pernah berikan kepada mereka yang tersebut, juga dipinjamkan kepada kita.

Anakanda, yang sebagai pewaris anbiya,

Tok Kenali merantau dari bumi Kelantan ini menuju bumi anbiya dan menetap di sana berbelas-belas tahun lamnya dengan hanya berbekalkan belasan ringgit sahaja daripada ibunya. Dalam masa kembaraannya mencari ilmu IlLahi itu, tak ada dalam hatinya rasa nak balik sesekali ke bumi tanah lahirnya, kerana dia sedar dia sedang mencari ilmu, bukan pergi melancong ke sana, sekejap nak pergi sekejap nak balik lagi. Sekarang anakanda sedang berada di bumi anbiya, sama seperti mereka yang tersebut di atas, lalu manfaatkan peluang, ruang, keadaan yang ada di sana yang tentunya tidak ada di bumi malaysia ini, untuk menggali, menyimpan, dan mengumpul ilmu itu. Sedarilah dunia kita, masyarakat kita, orang kita, terlalu dahagakan bimbingan untuk mengenal AlLah. Seterusnya menjadi hamba AlLah yang diredhai-Nya.

Selamat eidil fitri buat semua mereka yang sedang mempersiapkan diri untuk menjadi pewaris ilmu nabi.



Hikmat Zakat Fitrah

Antara hikmat yang dapat dirasai dengan mengeluarkan zakat fitrah ialah :

1. Dapat berkongsi bersama kegembiraan dalam menyambut hari raya antara golongan berkemampuan dengan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan.

2. Ia merupakan antara ungkapan syukur atas nikmat Allah yang dilimpahkan kepada orang yang berpuasa.

3. Dapat menutupi kekurangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dan sebagai penyucian terhadap ibadat puasa sehingga ia diterima oleh Allah.

4. Membersihkan diri daripada sifat bakhil bagi harta milik dirinya sendiri dan tamak terhadap harta milik orang lain.

5. Menjalin ikatan persaudaraan yang lebih rapat dengan membentuk sikap penyayang di kalangan umat Islam.


http://epondok.wordpress.com/2009/09/18/hikmat-zakat-fitrah/

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar

Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil Lailatul Qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan. Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, super market, pasa raya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat Bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda Bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda Bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam Lailatul Qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada Bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan Malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda Bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan bagi umat lain.


SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan Malam al-Qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan Malam al-Qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan Malam al-Qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam Bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang Malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan Malam al-Qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari Malam al-Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya Malam al-Qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan Malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Malam al-Qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

Rujukan

1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr.


Sumber/petikan: http://epondok.wordpress.com/2009/09/10/4-sebab-sembunyi-lailatul-qadar/

Tanda Lailatul Qadar


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ وَوَكِيعٌ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ابْنُ نُمَيْرٍ الْتَمِسُوا وَقَالَ وَكِيعٌ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: " Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan".Hadis Riwayat Imam Muslim.

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahu oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita digalakkan untuk menghidup malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq ‘alaih daripada Abu Hurairah yang bermaksud : "Sesiapa yang menghidupkan Malam Lailatul Qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu".

Menurut Imam Fakhrurrazi bahawa Allah menyembunyikan Malam Lailatul Qadar daripada pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian Malam Lailatul Qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu Malam Lailatu Qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap Lailatul Qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan Lailatul Qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui Lailatul Qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai Lailatul Qadar yang bermaksud : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). – Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. – Hadis riwayat Iam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ubadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : "Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)".

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : "Malam Lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk".

Qadhi ‘Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.

Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.


Sumber/petikan : http://epondok.wordpress.com/2009/09/09/tanda-lailatul-qadar/