Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

10 Kebaikan Insan Sentiasa Berzikir

DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.

Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir.

Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir?

Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah. Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan.

Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud:

“Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35

Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud:

“Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.”

Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik.

Pesan Imam Al-Bukhari:

"Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa".

Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita.

Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud:

"Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring".

Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW:

Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi

Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah

[1] seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan.

[2] Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah,

[3] dimurahkan ruang rezekinya,

[4] membangkitkan aura sahsiah peribadi murni,

[5] dapat menghidup dan menjernihkan hati.

[6] Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah,

[7] mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji.

[8] Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik

[9] dan bersedia hidup penuh berani.

[10] Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq.

Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti.

Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.

Artikel Asal Di sini

Maksiat Lemahkan Hati, Hilang Berkat

Artikel Asal Di sini

DOSA bukan perkara kecil. Hari ini ramai orang memandang remeh soal dosa. Sesetengah umat Islam kini bukan saja tidak takut berbuat dosa malah seronok pula melakukannya.

Akibat atau kesan negatif yang akan menimpa pelaku maksiat antaranya:

1. Maksiat akan menghalang diri daripada mendapatkan ilmu pengetahuan.
Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Ketahuilah, kemaksiatan dalam hati dapat menghalang serta memadamkan cahaya itu.

2. Maksiat menghalang rezeki.
Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkan ketakwaan bererti menimbulkan kefakiran. Rasulullah s.a.w bersabda, “Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya.” (HR Ahmad).

Justeru, kita perlu meyakini takwa adalah penyebab datangnya rezeki serta memudahkan rezeki kita. Jika saat ini kita berasakan betapa sulitnya mendapatkan rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan debu maksiat.

3. Maksiat membuat kita jauh daripada Allah.
Diriwayatkan ada seorang lelaki mengeluh kepada seorang arif berkenaan kesunyian jiwanya. Arif itu berpesan, “Jika kegersangan hatimu akibat dosa, maka tinggalkanlah perbuatan dosa itu.”

4. Maksiat membuat sulit semua urusan kita.
Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap gelita. Ibnu Abbas r.a. berkata, “Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk".

5. Maksiat melemahkan hati dan badan.
Kekuatan seorang mukmin terpancar daripada kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat, maka kuatlah badannya.

6. Maksiat menghalang untuk kita taat.
Orang melakukan dosa dan maksiat cenderung untuk tidak taat. Orang yang berbuat maksiat seperti orang yang satu kali makan, tetapi mengalami sakit berpanjangan.

7. Maksiat memendekkan umur dan menghapus keberkatan.
Pada dasarnya, umur manusia dihitung daripada masa hidupnya. Imam Nawawi hanya diberi usia 30 tahun oleh Allah s.w.t. Meskipun hidupnya pendek, namun berkat. Kitab Riyadhush Shalihin dan Hadits Arbain yang ditulisnya memberinya keberkatan dan usia yang panjang, sebab dibaca oleh manusia dari generasi ke generasi hingga saat ini dan mungkin generasi yang akan datang.

8. Maksiat menumbuhkan maksiat lain.
Seorang ulama salaf berkata, jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal itu akan mendorongnya melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali cuba melakukan maksiat kerana ia akan menyebabkan ‘ketagihan’ dan sukar untuk berhenti jika ia menjadi satu kebiasaan.

9. Maksiat mematikan bisikan hati nurani.
Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak melakukan maksiat lain. Itulah akibat maksiat. Tidak ada lagi rasa malu ketika berbuat maksiat. Jika orang sudah biasa berbuat maksiat, dia tidak lagi memandang perbuatan itu sebagai sesuatu yang buruk. Tidak ada lagi rasa malu melakukannya. Bahkan dengan bangga menceritakan perbuatan maksiat yang dilakukannya kepada orang lain.

Mencari Hakikat Diri...

Pesan Sayyidina Umar Al Khattab R.A:

"..Sesungguhnya kesempurnaan taubatmu, bila engkau ingat selalu pada dosamu, dan kesempurnaan amalmu harus menghindarkan ujub, dan kesempurnaan syukur ialah menyedari kekurangan -kekuranganmu.."

Muhasabah Diri: Meneliti Aib Diri Sendiri

Imam Hasan Al Bashri dalam kalamnya (ucapannya) menyebutkan bahawa:

"Engkau tidak akan memperolehi hakikat iman selama engkau mencela seseorang dengan sebuah aib yang ada pada dirimu sendiri. Perbaikilah aibmu, baru kemudian engkau perbaiki orang lain.

Setiap kau baiki satu aibmu, maka akan tampak aib lain yang harus kau perbaiki. Akhirnya kau sibuk memperbaiki dirimu sendiri. Dan sesungguhnya, hamba yang paling dicintai Allah adalah dia yang sibuk memperbaiki dirinya sendiri. "

Semoga petikan ucapan ringkas dari Imam Hasan Al Basri di atas cukup dan boleh menjadi renungan buat kita bersama dan semoga hal ini menjadi motivasi bagi kita untuk tiada henti-henti menilai diri dan berhati-hati dalam setiap ucapan yang akan kita buat.

Petikan:Di Sini

Akal vs Al Quran

Kenapa aku tak dapat apa yang aku idamkan??

“…Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya..."
Al Baqarah 216.

Mengapa ujian seberat ini??

“…Allah tidak memberati seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya... “ Al Baqarah 286.


Rasa frust dan kecewa..

“…Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang beriman…"
Ali Imran 139.


Bagaimana harus aku menghadapinya??

“…Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)…” Ali Imran 200.

“…Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk…” Al Baqarah 45.


Apa yang aku dapat daripada semua ini??

“…Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan syurga,..” At Taubah 111.

Kepada siapakah aku bergantung harap??

“..Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri(tawakkal),..” At Taubah 129.


Petikan: Suara Kampus edisi Shoubra, Bil.11/Zulqaedah 1427h/November 2006/m/s 6

Al Qiadah : Takliif Laa Tasyriif

Artikel Asal Di sini

Salam perjuangan buat semua. Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi.

Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia ( PAS ).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan ( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ).

عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.

عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما: يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام
"إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)


Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.

Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.

Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak . Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .

Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing [ klik ] dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.

عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها

Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)


Kisah Semut, Labah-Labah dan Lebah


Artikel asal Di sini

Jika anda diberi pilihan untuk menjadi semut, labah-labah atau lebah, manakah yang akan anda pilih? Orang yang rajin bekerja akan memilih menjadi semut, sebab melambangkan kerajinan, iltizam, kerjasama, kesatuan, hidup bermasyarakat dan sentiasa aktif.

Orang yang merasakan dirinya bijaksana akan memilih menjadi labah-labah sebab pada anggapannya labah-labah amat cerdik. Dia membina sarang sekali sahaja tetapi mampu duduk senang dan tetap mendapat makan selamanya.

Manakala orang yang merasakan hidup perlu berjasa akan memilih menjadi lebah. Pada anggapannya lebah sangat rajin, cerdik, juga berkuasa. Sengatan lebah boleh mematikan.

Apakah pilihan anda?

Sebenarnya semua pilihan adalah betul. Setiap sesuatu ada kelebihan dan keistimewaan juga kekurangan-kekurang an tertentu. Mengapa saya berkata begitu? Sebabnya, ketiga-tiga binatang kecil ini disebut dalam Al-Quran malah menjadi nama surah. Semut dari Surah An-Naml, labah-labah dari Surah Al-Ankabut dan lebah dari Surah An-Nahl.

Itu menunjukkan ketiga-tiga binatang kecil ini sangat istimewa, penting lagi contoh-contoh terbaik untuk manusia. Namun, jika disuruh memilih satu sahaja dan soalan itu ditujukan kepada saya, saya akan menilai sebagaimana berikut:

Semut. Kerjanya menghimpun makanan tanpa henti. Siang malam pagi petang dia berusaha tanpa rehat. Belum pernah saya melihat seekor semut terbaring keletihan. Dia hanya diusung oleh teman-temannya apabila dia mengalami kesakitan ataupun setelah mati. Selebihnya ia akan bekerja, bekerja dan bekerja.

Tahukah anda, semut boleh menghimpun makanan untuk bekalan yang amat lama sedangkan usianya tidaklah lebih lama daripada banyaknya bekalan makanan yang boleh dihimpunnya itu. Motif kehidupan semut ialah menghimpun sebanyak-banyak makanan, seolah-olah dia tidak mati dan hidup selama-lamanya. Alangkah tamaknya sang semut hingga kadangkala sanggup memikul sesuatu yang melebihi saiz badannya sendiri. Sedangkan nyata dia sendiri tidak sanggup memakan makanan itu hingga selesai.

Labah-labah. Dalam ayat 41 Surah Al-Ankabut disebut tentang sarang labah-labah sebagai tempat yang paling rapuh. Ia bukan tempat yang aman. Apa pun yang berlindung di sana akan binasa. Bahkan jantannya disergapnya untuk dihabiskan oleh betinanya. Telur-telurnya yang menetas saling berdesakan hingga saling memusnahkan.

Lebah. Lebah memiliki naluri yang dalam bahasa Al-Qur’an disebut, mafhumnya, “Atas perintah TUHAN ia memilih gunung dan pohon-pohon sebagai tempat tinggal.” [An-Nahl,16: 68].

Lebah membina sarang berbentuk segi enam bukannya lima atau empat agar efisen dalam penggunaan ruang. Makanannya suci, bersih dan istimewa daripada serbuk sari bunga. Lebah tidak mengumpul makanan, sebaliknya menghasilkan lilin dan madu yang sangat bermanfaat kepada manusia. Lebah sangat berdisiplin, mengenal pembahagiaan kerja, tidak cerewet, tidak letih melakukan kerjanya.

Demi kesucian dan manfaat sarang yang dibina, segala yang tidak berguna disingkirkan. Hasilnya sarang lebah menjadi pusat pengumpulan madu. Lebah tidak mengganggu kecuali jika diganggu. Bahkan sengatannya pun di samping amat berbisa juga boleh menjadi ubat. Ini dibuktikan dalam salah satu rancangan yang memaparkan kisah-kisah pelik tetapi benar terbitan Amerika Syarikat.

Jadi, apakah pilihan saya? Saya memilih ketiga-tiganya sebab ketiga-tiganya mempunyai keistimewaan- keistimewaan tertentu. Psikologinya saya ingin menjadi semut dengan alasan mahu bekerja keras tanpa memikirkan soal remeh-temeh dan politik-politik tertentu. Namun, saya tidak mahu mengambil sikap bodohnya. Tahukah anda sembut amat bodoh meskipun amat rajin.

Jika ada seekor semut terjumpa seketul gula misalnya, dia akan segera pulang memberitahu rakan-rakannya. Lalu dia akan mengikut jalan yang sama yang digunakannya sehingga seketul gula itu ditemuinya kembali. Dia dan rakan-rakan akan menggunakan laluan yang sama untuk kembali ke situ dan begitulah seterusnya hinggalah makanan itu habis. Kemudian seluruh suku sakat dan kaum kerabatnya akan mengikut laluan yang sama juga walaupun ada jalan pintas yang lebih dekat.

Saya juga akan mengambil sikap labah-labah yang smart itu. Dia membina sarang dan duduk senang sepanjang masa. Konsepnya seperti bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Susah membina sarang berbaloi untuk hidup senang. Hidup memang perlu smart. Hanya orang smart akan dapat smart living melalui smart earning.

Kaedahnya seperti menanam pokok pisang; menanam sekali makan selamanya. Samalah juga seperti menulis buku; menulis sekali tapi memunggut hasilnya sepanjang masa.

Dengan mengambil sikap lebah, tentunya saya mahu menjadi seseorang yang diperlukan masyarakat dengan memberikan sebanyak-banyak jasa. Bijaknya lebah boleh membina sarang segi enam yang tepat ukurannya. Tidak pernah kita lihat indung lebah ada yang besar ada yang kecil. Ia benar-benar seperti manusia yang pandai matematik dan sains atau seperti manusia yang lebih banyak menggunakan otak kirinya.

Meskipun hebat segala segi, lebah boleh menyerang balik jika terancam. Sikap ini turut diperlukan sebab untuk membina kejayaan ada kalanya kita terpaksa bertindak untuk mengekalkan matlamat serta kedudukan daripada diganggu. Apabila umat Islam mula diperangi maka ALLAH memerintahkan Nabi s.a.w. menyerang balik. Maka hukum berperang dalam keadaan ini pun jelas.

Namun, jika soalan yang asal ditanyakan lagi dan disuruh pilih satu sahaja, apakah pilihan yang terbaik? Semut menghimpun harta, labah-labah pula ingin hidup senang atas kesusahan orang lain manakala lebah berkhidmat kepada pihak lain. Maka, pilihan yang terbaik ialah lebah, lantaran Nabi s.a.w. pernah mengibaratkan seorang Mukmin itu sebagai lebah.

“Tidak makan kecuali yang baik-baik, tidak menghasilkan kecuali yang bermanfaat dan jika menimpa sesuatu tidak merusak dan tidak pula memecahkannya.” Itulah lebah.