Keunggulan Zaman

" Kau Hina Semasa Menuntut,
Maka Kau Akan Mulia Semasa Dituntut "

" Jangan pernah takut kehilangan
sesuatu yg BUKAN menjadi hak kita &
Jangan kau tangisi apa yg bukan Milikmu.."

Perutusan Hari Raya Daripada Abah

Assalamualaikum wm wb,

Segala puja & puji tertentu hanya layak dihadapkan ke-hadrat AlLah, Rabb semua Alam. Selawat dan salam hanya layak untuk para anbiya, hamba AlLah yang paling setia taatnya, tidak berbelah & berbahagi, semata-mata hidup & matinya untuk mengabdikan diri buat IlLahi. Salam & deretan doa buat mereka yang sudi mengikuti jejak nabi, dulu, kini, dan selamanya

Anakanda yang jauh,

Eidil Fitri, kedatangannya pada tahun ini tentunya menawarkan satu pengalaman yang berbeza buat diri kita sekeluarga. Anakanda berada di perantauan, jauh pada pandangan mata tapi jauhnya jarak geografi tidak akan berdaya memadamkan keberadaan anakanda dalam hati, ayahanda dan bonda serta adik-adik di bumi malaysia ini. Ya, satu kenyataan yang tidak sesiapa mampu menafikan, di mana pun kita menyambut eidil fitri, situasi dan kondisinya sama sahaja, kerana kita bertakbir dan bertasbih menggunakan lafaz yang sama, memuja dan memuji AlLah yang sama, mengadap AlLah yang sama, sujud merapatkan dahi dengan penh rasa hina diri, menyatakan belitan masalah yang membelenggu diri kepada AlLah yang sama, AlLahu Akbar WallilLahi hamd.

Anakanda yang hebat,

Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain telah mengundangkan rasa hebat apabila kita membaca dan mengikuti sari perjalanan hidup mereka. Rasanya tak tertanding oleh kita kehebatan yang AlLah, telah berikan kepada mereka. Namun, cuba kita fikiri sejenak dengan mata hati dan mata akal yang terbuka waras, adakah kehebatan yang AlLah kurniakan kepada mereka itu, tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka? Adakah mereka hanya tidur bangun, tidur bangun, tidur bangun, akhirnya mereka jadi hebat? Atau di sana ada usaha yang tidak terjumlah yang mereka usahakan, atau di sana ada kegigihan yang tidak bertepi yang mereka lalui, atau di sana ada ketekunan yang meninggi yang mereka lalui, jawaplah dengan hati yang mengerti. Adakah kalau sekiranya kita juga cuba buat seperti mereka(Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain) pada hari ini, AlLah itu maha luas kurniaannya. Ilmu-Nya tidak akan terjejas sedikitpun jika sedikit ilmu yang DIA pernah berikan kepada mereka yang tersebut, juga dipinjamkan kepada kita.

Anakanda, yang sebagai pewaris anbiya,

Tok Kenali merantau dari bumi Kelantan ini menuju bumi anbiya dan menetap di sana berbelas-belas tahun lamnya dengan hanya berbekalkan belasan ringgit sahaja daripada ibunya. Dalam masa kembaraannya mencari ilmu IlLahi itu, tak ada dalam hatinya rasa nak balik sesekali ke bumi tanah lahirnya, kerana dia sedar dia sedang mencari ilmu, bukan pergi melancong ke sana, sekejap nak pergi sekejap nak balik lagi. Sekarang anakanda sedang berada di bumi anbiya, sama seperti mereka yang tersebut di atas, lalu manfaatkan peluang, ruang, keadaan yang ada di sana yang tentunya tidak ada di bumi malaysia ini, untuk menggali, menyimpan, dan mengumpul ilmu itu. Sedarilah dunia kita, masyarakat kita, orang kita, terlalu dahagakan bimbingan untuk mengenal AlLah. Seterusnya menjadi hamba AlLah yang diredhai-Nya.

Selamat eidil fitri buat semua mereka yang sedang mempersiapkan diri untuk menjadi pewaris ilmu nabi.



0 ulasan:

Post a Comment